Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir bercakap pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat mengenai Kongres AMK Nasional di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2019

PETALING JAYA – Lembaga Disiplin PKR digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat kepimpinan yang membuat kenyataan keterlaluan dan bertindak di luar batasan parti.

Perkara itu dizahirkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir di sebalik kemelut yang dihadapi parti itu yang dilihat sedang berantakan.

“Bagi saya, masing-masing merupakan kepimpinan, dia tahu apa yang perlu dibahaskan, dibangkitkan di dalam khalayak umum.

“Tapi kalau luar keterbatasan, maka dia harus sedia untuk berdepan Jawatankuasa Displin parti. Tapi buat masa ini, bagi saya pimpinan kena tumpu pada isu rakyat, fokus pada suara anak muda,” katanya kepada media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Akmal diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa Ahli Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan masalah mereka secara dalaman.

PKR kini dilaporkan sedang bergelut dengan pertempuran di antara kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Buat masa ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, tiada sebarang tindakan disiplin akan diambil terhadap beberapa pemimpin parti itu termasuk Azmin yang masih gagal menghadiri Mesyuarat PKR Pusat mahupun Mesyuarat Biro Politik yang diadakan setiap minggu. -MalaysiaGazette