Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen disaran supaya membawa usul Akta Kawalan Arak di Dewan Rakyat demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai daripada insiden-insiden buruk yang dilakukan oleh kaki botol.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, seharusnya isu itu tidak dikaitkan dengan agama atau bangsa tertentu kerana kemalangan dan kecelakaan tidak mengenal agama dan warna kulit seseorang.

Sebagai contoh katanya, di negara jiran Singapura, wakil rakyatnya sebulat suara menyokong usul Akta Kawalan Arak yang ketat demi menjaga kesejahteraan rakyatnya.

“Seharusnya Malaysia mengambil contoh yang baik ini untuk diadaptasikan di negara kita.

“Seperti mana larangan rokok, kerajaan sebenarnya boleh menggubal undang-undang dan peraturan berkaitan arak.
Antaranya, peraturan melarang minum arak di tempat awam dari pukul 10.30 malam hingga 7 pagi serta melarang mana-mana premis menjual arak dari pukul 10.30 malam hingga 7 pagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, kerajaan juga boleh mewujudkan Zon Kawalan Arak di sesetengah kawasan mengikut masa-masa tertentu bergantung kepada kesannya terhadap penduduk di kawasan setempat.

Katanya, berkaitan isu pemandu mabuk ia sememangnya di luar bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

Oleh itu kata beliau, Kementerian Kesihatan seharusnya mengambil langkah proaktif untuk menggubal Akta Makanan supaya mewujudkan Akta Kawalan Arak yang lebih ketat. – MalaysiaGazette