Khalid Samad menghadap dan berbincang hampir dua jam bersama baginda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Kayangan Selangor Khamis lalu.Foto: Istana Selangor

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan menyatakan komitmennya dalam memastikan pembangunan Kampung Bharu di ibu negara tidak mengabaikan lokasi bersejarah serta nama perkampungan bersejarah Melayu itu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, beliau dan para pegawai kementeriannya telah menerima titah berkenaan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semasa pihaknya diperkenan menghadap Baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam Selangor pada Khamis lalu.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, beliau telah diberi ruang untuk melaporkan kepada Baginda beberapa perkara berkaitan cadangan pembangunan semula Kampung Bharu dan isu berkaitan Malay Agricultural Settlement (MAS).

Khalid Samad bersama pegawai kementerian Wilayah Persekutuan menghadap dan berbincang dengan Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai perkembangan Kampung Bharu Khamis lalu.Foto: Pejabat Istana Kayangan Selangor.

Khalid berkata, kementeriannya mengambil maklum wujud sejarah yang panjang antara Kampung Baru dan Kesultanan Selangor yang mana dengan keprihatinan dan pandangan jauh Kesultanan Selangor pada 1899, maka wujud Kampung Baru sebagai penempatan orang Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

“Oleh yang demikian, kementerian semestinya akan memberi perhatian khusus terhadap segala pandangan DYMM Sultan terhadap Kampung Baru.

“Hasil pertemuan tersebut, besar harapan kementerian untuk menyempurnakan titah baginda Sultan yang mahukan Kampung Baru dibangunkan dengan sebaiknya di samping mengekalkan elemen dan ciri-ciri kemelayuan di perkampungan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memuat naik gambar pertemuannya dan dengan Baginda di laman Facebook nya.

Sementara itu, Khalid berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan turut mengambil maklum titah Baginda yang menyatakan keadaan Kampung Baru ketika ini tidak lagi kondusif untuk kehidupan moden dan selesa sedangkan kawasan sekitarnya telah dibangunkan dengan pesat menyebabkan Kampung Baru kelihatan ketinggalan.

Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah melihat Cenderahati daripada Kumpulan Pegawai dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad semasa pertemuan di Istana Kayangan di Selangor Khamis 21 November lalu.Foto:Pejabat Istana Selangor.

Selain itu, kata beliau, pihaknya akan memberi perhatian khusus terhadap titah Sultan yang mahukan lokasi bersejarah di Kampung Baru seperti Masjid Jamek Kampung Baru dan Kelab Sultan Sulaiman dikekalkan dan dipulihara supaya dapat diwarisi dan diketahui generasi akan datang mengenai sejarah kewujudan kampung itu.

“Kami juga akan mengambil berat titah baginda supaya nama Kampung Baru sendiri dikekalkan termasuklah nama-nama jalan yang telah diletakkan nama-nama salasilah Kesultanan Selangor dan tokoh-tokoh penting yang telah terlibat di peringkat awal kewujudan perkampungan Melayu itu,” katanya.- MalaysiaGazette