Khazanah Nasional
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah ) telah melabur sebanyak RM6.4 bilion dalam enam pelaburan baharu dalam pelbagai sektor termasuk pasaran awam India dan China antara Mei 2018 hingga Jun 2019.

Pelaburan-pelaburan yang dibuat antara Mei dan Disember 2018 ialah ialah Ant Financial Co (RM2.552 bilion). IHH Healthvare (RM1.442 bilion), Prince Court Medical Centre (RM1.087 bilion) dan CIMB Group (RM635 juta).

Manakala antara bulan Januari hingga Jun tahun ini ialah pasaran awam China (RM553 juta) dan India (RM84 juta), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pontian (BN), Datuk Ahmad Maslan yang bertanya jumlah secara terperinci aset yang dijual dalam kepentingan asing dalam bentuk peratusan dan ringgit, sama ada oleh Khazanah, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Petronas, Sime Darby, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Tabung Haji dan Felda atau entiti lain mulai 10 Mei 2018 sehingga hari ini.

Ahmad juga bertanya berapa aset yang dibeli oleh entiti berkenaan dalam tempoh tersebut.

Menurut Azmin, pada April tahun ini, Petronas telah melaksanakan pembelian saham dalam sebuah syarikat
berpangkalan di Singapura, Amplus Energy Solutions Pte. Ltd., sebagai satu langkah strategik untuk mengembangkan perniagaan serta memasuki pasaran industri hiliran tenaga diperbaharui (RE).

Bagi tempoh Mei 2018 hingga sekarang, aset yang telah dijual kepada kepentingan asing oleh Khazanah hanya melibatkan dua pelupusan sahaja iaitu 16% pegangan dalam IHH Healthcare Berhad (IHH) bernilai RM8.42 bilion dan sebahagian daripada pembangunan bersepadu Duo di Singapura melalui pegangan dalam M+S Pte Ltd bernilai S$1.575 bilion.

Katanya, tiada pelupusan kepada pihak asing yang dilaksanakan oleh Petronas dan Felda dalam tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette