Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengajak seluruh ahli parti dan rakyat Malaysia menunaikan hajat Lim Kit Siang bahawa Pakatan Harapan (PH) akan menjadi kerajaan sepenggal.

Anggota Exconya, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, beliau sendiri bersetuju dengan kenyataan penasihat DAP itu, yang PH berpotensi menjadi kerajaan sepenggal dan tidak ada masa depan.

Ujar beliau, ketika rakyat berharap kerajaan melakukan tindakan membela nasib mereka, pemimpin PH sibuk berebut kuasa semasa sendiri, memberi kroni projek dan melakukan dasar yang tidak masuk akal.

“Ketika peneroka mengeluh harga sawit rendah, pemimpin menyuruh minum minyak sawit. Ketika usahawan memerlukan bantuan kerajaan, pemimpin sibuk dengan kereta terbang.

“Ketika pekebun kecil dalam kesusahan, pemimpin mansuhkan bantuan tanaman semula. Ketika rakyat hendakkan keamanan, pemimpin sokong pengganas LTTE dan hendak mansuhkan SOSMA,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya.

Beliau mengulas kenyataan Kit Siang semalam, bahawa PH berpotensi menjadi kerajaan sepenggal berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini.

Tegas Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, beliau melihat, jika sesuatu tidak dilakukan, PH akan mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Justeru, beliau mahu segala gerak kerja PH perlu disemak semula dan kembali kepada politik sederhana dengan tidak bersaing melalui cara menyebar kebencian, selain perlu bertolak ansur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast