Mahfuz Omar

SHAH ALAM – Lebih 70 pusat tahfiz berdaftar di Kedah akan diterapkan dengan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Timbalan Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan pihak pengurusan tahfiz dapat menguruskan pusat berkenaan menggunakan kaedah TVET kerana dalam sistem itu turut mempunyai Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tahfiz berkenaan semalam, dan mereka sangat terbuka untuk melihat masa depan yang lebih terjamin.

“Semalam, saya bertemu dengan lebih 70 pusat tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Kedah dan sangat terbuka untuk melihat mengenai masa depan mereka.

“Tujuan kita mahu TVETkan pusat tahfiz ini untuk memastikan pengurusannya kemas. Jadi, mereka mesti diTVETkan.

“Selain pusat tahfiz, tenaga pengajar juga mesti diTVETkan. Mereka mesti melalui kursus mengikut kaedah NOSS.

“Mereka harus menggunakan NOSS dari segi kaedah pengajaran, pengurusan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TownHall dan majlis perasmian Program Modular Professional Certification Dalam Bidang Keselamatan Siber di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut Mahfuz, kerajaan melakukan itu semua untuk memastikan pelajar tahfiz mendapat sijil TVET dalam bidang itu semata-mata, dan apabila tamat pengajian, mereka boleh mendapat pekerjaan.

“Sekarang ini, mereka yang keluar dari pusat itu hanya memiliki sijil pusat tahfiz sahaja. Kali ini, mereka turut mempunyai sijil TVET,” katanya.

Katanya, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada pusat tahfiz dan berharap Kedah akan menjadi perintis kepada usaha itu.

“Selepas ini pengurusan pusat tahfiz ini akan datang ke Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk berbincang lebih lanjut bagaimana proses pelaksanaan ke arah itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast