Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengatakan sesuatu dengan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (dua kanan) pada Persidangan Insititut Kajian Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) 2019 bertemakan 'Mempertahan Negara Maritim : Masa Depan Operasi Bersama ATM?' di Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre. foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Isu pembelian enam buah helikopter, MD 530G, daripada Amerika Syarikat (AS) akan dibawa ke Kabinet.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah menerima pandangan daripada Peguam Negara dan Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan.

“Kita ada dua pandangan utama di situ.

“Kita akan bawa ke mesyuarat kabinet untuk dibincangkan dan membuat keputusan, saya nak cuba bawa dalam masa terdekat iaitu sebelum akhir tahun ini supaya ada keputusan akhir mengenai tempahan enam helikopter MD530G yang sepatutnya tiba pada November 2017 lalu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Institut Kesalamatan dan Pertahanan Malaysia 2019 bertema Mempertahankan Negara Maritim:Masa Depan Operasi bersama ATM?”.

Ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan tempahan itu, Mohamad berkata, ia akan ditentukan Kabinet.

Mengenai kertas putih Kementerian Pertahanan, beliau memberitahu, ia akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat pada 2 Disember ini.

“Kertas putih itu sebelum disiapkan kami mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk pemain industri pertahanan menerusi lima pertemuan selain input negara yang pernah membentangkan kertas putih iaitu, New Zealand, Jepun, Australia, Brunei dan Jerman,” katanya. – MalaysiaGazette