Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Pertukaran Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan ke Jabatan Perkhidmatan Awam adalah dalam bidang kuasa Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Malah, Datuk Seri Salahuddin Ayub enegaskan, beliau tidak campur tangan dalam pertukaran Mohd Sallehuddin kerana ia di bawah bidang kuasa Tan Sri Dr Ismail Bakar dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, beliau juga belum mendapat notis daripada mana-mana pihak.

“Saya baca melalui Whatsapp group, saya baca begitu sahaja lah dan tidak ada pun penafian rasmi tentang itu.

“Jadi saya anggap itu urusan biasa di pejabat KSN atau di pejabat Ketua Pengarah JPA,” katanya sambil menegaskan tidak mencampuri bidang kuasa yang ada pada KSN atau JPA.

Beliau mengulas loporan portal semalam yang mendakwa Mohd Sallehhuddin ditukarkan susulan isu tender padi bernilai RM1.4 bilion.

Pertukaran itu didakwa dibuat pada Jumaat lalu, sehari selepas isu tersebut dicetuskan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Artikel berkaitan:Sallehhuddin akur keputusan dipindah ke JPA

KSU jadi mangsa kesalahan menteri – Mohd. Zaidi

Isu tender Nafas, Azih tak fikir KSU langgar arahan

Susulan daripada pendedahan itu, ada pihak daripada Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Salahuddin disabotaj oleh KSU kementeriannya.

Salahuddin menyifatkan perpindahan Mohd Sallehhuddin adalah pertukaran biasa antara kementerian dan jabatan kerajaan.

Beliau turut mengesahkan tiada sebarang siasatan dalaman dilakukan oleh kementeriannya terhadap Ketua Setiausaha Kementerian itu.

“Tidak ada siasatan dalaman dilakukan. Saya tidak pernah mengarahkan atau pun menerima apa-apa arahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette