Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Blok pembangkang kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menukar Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana kesilapan yang dilakukan Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam isu pemberian tender kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menempelak sikap tidak bertanggungjawab Salahuddin yang memberi alasan tidak tahu mengenai proses tender terbuka dan penukaran KSU itu.

Katanya, Salahuddin yang sepatutnya ditukar kerana tidak tahu apa yang berlaku dalam kementeriannya.

Katanya, KSU berkenaan dilihat menjadi mangsa akibat kelemahan menteri dalam mengendalikan isu berkaitan Nafas sejak akhir-akhir ini.

“Kita tidak menentang Nafas diberikan kontrak tersebut. Jangan salah sangka, cuma yang kita pertikaikan adalah apabila tender telah dibuka dan dipilih pentender berjaya, tender itu dibatalkan.

“Saya percaya tindakan KSU Pertanian adalah berdasarkan Manifesto Pakatan Harapan yang mana menjamin semua projek harus melalui tender terbuka dan inilah yang dibangkitkan terhadap BN dulu apabila ada projek tertentu diberikan secara rundingan terus.

“Banyak projek yang tak boleh dibuka secara tender terbuka seperti isu keselamatan Mindef perlu ada keadan tertentu diberi secara rundingan terus dan Pakatan selepas menang PRU14 dulu mengatakan tidak ada lagi rundingan terus semuanya tender terbuka dan saya percaya inilah mesej yang diterima semua pegawai tertinggi kerajaan terutama KSU

“Maka alasan diberikan menteri yang katakan dia tak tahu langsung tentang tender terbuka yang dibuat oleh KSU adalah saya rasa alasan yang tidak boleh diterima,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen petang ini.

Tambah Ismail, kebiasaannya proses pengiklanan tender dibuat dalam media dan tidak logik menteri tidak tahu mengenainya.

“Jadi tak mungkin selama itu Menteri pun langsung tidak tahu dan sewaktu tender dibuka dan ditutup, kecuali pegawai menteri tak buat kerja atau menteri itu sendiri tak buat kerja dan langsung dia tidak tahu apa yang berlaku dalam kementerian dia melibatkan tender bernilai RM1.4 bilion ini.

“Jadi apabila lakukan kesilapan akhirnya cari kambing hitam, maka pegawai kerajaan dikambing hitamkan dan kita amat kesal dan ini bukan perkara bahru sebab sejak awal pentadbiran kerajaan ini salahkan kakitangan awam tak setia kepada kerajaan baharu tapi dituduh masih setia kepada kerajaan lama.

“Malah komen ini bukan hanya datang dari Menteri Pertanian tetapi juga Menteri Wilayah Persekutuan yang katakan pegawai kerjaan sabotaj menteri dalam isu berkaitan tender ini,” ujar beliau.

Berikutan itu, Ismail meminta JPA dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Negara supaya menjaga kepentingan pegawai mereka dan tidak tunduk dengan tekanan politik. – MalaysiaGazette