KUALA LUMPUR – Proses pengundian wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilaporkan terganggu hari ini.

Menurut satu kenyataan yang tersebar hari ini, masalah gangguan sistem tersebut mula dikesan jam 9 padi tadi sebaik proses pengundian dimulakan.

Keadaan itu menyebabkan mahasiswa tidak dapat turun mengundi dan berlaku kesesakan di tempat mengundi.

“Jam 11.40 pagi, masih tiada tanda-tanda sistem telah dibaik pulih. Ramai mahasiswa telah kecewa dengan sistem dan rata-rata pelajar tidak tahan kerana terpaksa menunggu lama,” demikan menurut kenyataan itu.

Bagaimana dalam jam 12.30 tengahari, pihak fakulti ada mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu namun didakwa sudah lewat.

Sehingga jam 1.30 petang tadi, sistem pengundian secara dalam talian masih belum dibaiki dan tiada tanda-tanda mengatakan usaha membaik pulih dijalankan.

Menjelang jam 2 petang, sistem telah dibaikpulih bagaimanapun pelajar sudah membuat keputusan untuk kembali ke kolej kediaman masing-masing.

Menurut salah seorang calon MPP yang bertanding, beliau kecewa kerana kempen sudah dimulakan sejak Sabtu lalu selepas proses penamaan calon selesai Jumaat lalu.

“Saya rasa kecewa sebab ramai kawan-kawan saya yang turun pagi tadi semata-mata untuk undi saya. Kenapa boleh jadi begini?,” soal beliau.

Satu panggilan dibuat ke pejabat Timbalan Naib Canselor (HEP), Prof. Dr. Azizan Abdullah dan pengawai yang menjawab panggilan itu mengesahkan berlaku gangguan sistem undian MPP, hari ini.

“Ada juga (isu tergendala itu berlaku. Tapi saya kena sahkan dengan pejabat TNC dulu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MalaysiaGazette  sedang cuba mendapatkan mendapatkan penjelasan Dr Azizan berhubung perkara ini. -MalaysiaGazette