Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Nisbah jenayah indeks bagi 100,000 penduduk di Malaysia pada 2018 bertambah baik kepada 273.8 berbanding 2017 (309.7).

Tujuh buah negeri merekodkan jenayah indeks melebihi paras nasional pada 2018 iaitu Kuala Lumpur (642.6), Selangor (330.8), Negeri Sembilan (327.1), Melaka (303.6), Kedah (287.6), Pulau Pinang (284.6) dan Johor (275.7). Manakala, Terengganu merekodkan jenayah indeks terendah bagi tahun 2018 (148.4).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi tempoh 2016 hingga 2018, bilangan penagih dadah menurun di enam negeri iaitu Pahang, Perlis, Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Manakala, tiga buah negeri mencatatkan trend peningkatan bilangan penagih dadah iaitu Kelantan,Terengganu dan Sabah.

Menurutnya, bilangan kertas siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan penurunan 8.0 peratus kepada 766 kes pada 2018.

Antara jenis kesalahan, bilangan kertas siasatan yang semakin meningkat pada 2018 adalah kesalahan tuntutan palsu (231 kes) dan salah guna kedudukan (101 kes).

Dalam tempoh yang sama, bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 1.7 peratus dan kesalahan salah guna kedudukan mencatatkan peningkatan tangkapan tertinggi iaitu 72.2 peratus. – MalaysiaGazette