Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit kembali meningkat selepas mencatat kerugian kebelakangan ini, apabila dibuka tinggi berbanding dolar US pagi ini, menjejaki yuan China yang kukuh susulan keyakinan ke atas hasil rundingan perdagangan US-China.

Pada 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1780/1830 berbanding dolar daripada 4.1810/1850 pada penutupan Selasa.

Bagaimanapun, Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes, bagaimanapun berkata pelabur akan memantau prestasi Bursa Malaysia untuk melihat sama ada bursa tempatan kembali meningkat.

“Ini disebabkan aliran keluar daripada pasaran saham terus menjejaskan sentimen ke atas ringgit minggu ini,” katanya dalam nota hari ini.

Dalam jangka masa terdekat, Dass menjangkakan nota tempatan boleh mencecah paras 4.13-4.15, sekiranya rundingan perdagangan antara US dan China positif.

“Bagaimanapun, jika rundingan berlarutan, selain tekanan jualan ke atas ringgit pada akhir 2019 susulan tempahan bermusim akhir tahun, ringgit berkemungkinan akan didagangkan antara paras 4.17-4.19 jika dibandingkan dengan dolar US,” katanya.

Sambil menyifatkan perjanjian perdagangan US-China itu sebagai pencetus perubahan ke atas ringgit, Dass berkata perjanjian perdagangan boleh mengukuhkan nilai ringgit berbanding dolar US pada 2020.

“Kami menjangkakan ringgit didagangkan antara 4.05 dan 4.10 berbanding dolar US, pengukuhan yuan antara tahap 6.93 dan 6.95, disokong terutama oleh perjanjian perdagangan US-China.

“Sebaliknya, ia boleh meletakkan ringgit pada sekitar 4.17-4.21 berbanding dolar US, manakala prestasi yuan pada tahap 7.03-7.07 berbanding dolar US,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali terhadap dolar Singapura.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8281/8337 daripada 3.8372/8412 pada Selasa, meningkat berbanding euro kepada 4.6025/6097 daripada 4.6050/6098 semalam dan naik berbanding pound kepada 5.3704/3789 daripada 5.3784/3848.

Berbanding dolar Singapura, unit tempatan bagaimanapun merosot, turun kepada 3.0608/0654 daripada 3.0596/0630 pada penutupan Selasa. – MalaysiaGazette