Sasha Saidin

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Sasha Saidin muncul sebagai hos program travelog disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Program berkenaan berkongsi momen meneroka pelbagai destinasi menarik dan bersejarah sekitar Capetown dan Johannesburg di Afrika Selatan.

Menerusi program diberi tajuk Design Capital yang sedang bersiaran setiap Ahad, pukul 1.30 petang menerusi saluran TV Okey (Astro 109), Sasha turut menimba pengalaman menarik dan berharga sepanjang penggambaran di bumi Afrika Selatan yang unik.

“Sebanyak 13 episod program berbahasa Inggeris ini di mana dalam setiap episod fokus diberikan kepada sebuah firma perundingan senibina yang teriktiraf dan masyhur di negara Afrika Selatan.

“Dalam satu-satu episod, pengacara program akan bermula dengan memperkenalkan firma perundingan senibina terpilih itu dari pejabat Pertubuhan Arkitek Malaysia di Kuala Lumpur,” kata satu kenyataan RTM hari ini.

Perkongsian menarik dalam episod yang memberi fokus terhadap firma perundingan senibina, Van der Merwe Miszewski Architects yang berpejabat di 161, Longmarket Street, Cape Town, Afrika Selatan.

Fokus kepada reka bentuk unik, falsafah senibina, rahsia kejayaan, dan projek-projek terkenalnya dan ia diakhiri dengan mengulas mengenai keistimewaan firma perundingan senibina berkenaan, kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette