TERKINI : Kandungan Surat SPRM ‘SERIUS’ – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya mempertimbangkan proses rayuan sekiranya dibuat oleh Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abdul Hamid yang dipecat Lembaga Disiplin PKR kerana disyaki salahguna kuasa, penyelewengan dan rasuah ketika pemilihan parti tahun lalu.

Presiden itu berkata beliau bersedia mempertimbangkan rayuan yang hadir daripada Zakaria kerana individu itu mempunyai segala hak berbuat demikian untuk menyatakan keadilannya seperti yang terkandung dalam Perlembagaan PKR.

“Dalam Perlembagaan parti setiap ahli walaupun sudah dipecat parti, mempunyai hak untuk merayu keputusan dan Lembaga Disiplin mesti mempertimbangkan rayuan yang diterima itu secara adil.

“Saya rasa surat itu diviralkan tepat masa yang mana kandungan surat itu dibaca oleh pengerusi Lembaga Disiplin dan saya sendiri, dan percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan secara mendalam dan memanggil pegawai, kakitangan berkaitan serta ahli parti lain sebelum memberikan pengesyoran,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.