Datuk Norashikin Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Srikandi mengecam unsur provokatif yang pro kepada perjuangan subversif yang kini didakwa semakin berani.

Presidennya, Datuk Norashikin Abdul Ghani, isu kontroversi bendera yang sengaja diubahsuai bintang bucu lima dan 11 jalur merah putih pada majlis pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) salah satu daripada contohnya.

“Sebelum ini juga berlaku kontroversi mengibarkan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik dan warna hitam putih, banyak laporan polis sudah dibuat tetapi tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa menyebabkan isu sama berulang kembali.

“Anasir-anasir berkenaan melihat pentadbir negara lemah dan tidak menjejaskan segala tindak tanduk mereka walaupun berkali-kali menghina lambang kedaulatan negara, malah laman web rasmi MABA langsung tidak menggunakan bahasa Melayu menunjukkan kesetiaan mereka lebih kepada negara China bukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, menurut Norashikin, Srikandi menyeru semua rakyat Malaysia yang mengaku taat setia kepada negara agar bersama-sama mengecam dan membuktikan kesetiaan mereka kepada Malaysia dan tanah air.

“Srikandi juga menolak alasan remeh temeh menyalahkan teknologi sedangkan semua orang tahu satu kekunci papan komputer tak kan bergerak sendiri tanpa program manusia,” ujarnya lagi.

Srikandi juga menggesa pihak pendakwaan untuk melihat undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan mencegah kelonggaran undang-undang yang membiarkan anasir negatif mengulangi tindakan sama pada masa akan datang.

Menurutnya, Majlis Raja-raja juga diminta tidak berdiam, negara semakin kritikal diancam anasir komunis yang semakin menjadi-jadi, mereka sepatutnya menjadi pelindung kedaulatan negara kerana rakyat negara ini hidup beraja.- MalaysiaGazette