Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin (kiri) ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat permohonan supaya penghawa dingin ditutup semasa persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Permohonan itu dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof menerusi surat rasmi daripada Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin.

Menerusi salinan surat permohonan yang diedarkan kepada pemberita di lobi Parlimen, Shahrul bersimpati dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang memberi alasan tidak hadir ke persidangan kerana kesejukan.

“Ini kerana kami amat bersimpati serta rasa hiba dengan ahli-ahli Parlimen PH yang kesejukan dan tidak dapat hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi menjalankan tanggungjawab setelah dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.

Permohonannya ini susulan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin yang berkata bukan mudah untuk ahli parlimen duduk lama di dalam Dewan Rakyat disebabkan keadaan yang sejuk.

Disebabkan itulah ujar beliau, berlaku kekurangan jumlah ahli parlimen dari kerajaan dalam Sidang Dewan Rakyat semasa pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam pada itu, Shahrul memberitahu, selain membantu ahli parlimen kerajaan yang mengadu kesejukan, tindakan menutup penghawa dingin juga akan menjimatkan bil elektrik seterusnya dapat dimanfaatkan kepada rakyat yang lebih memerlukan.

Selain Hanipa, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul pula berkata keletihan kerana menghadiri sesi sepanjang hari juga faktor kekurangan ahli parlimen dalam persidangan baru-baru ini.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

[VIDEO] Bukan mudah duduk lama-lama, dalam Dewan Rakyat sejuk – Hanipa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast