Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Berikut adalah penjelasan Kementerian Pembangunan Usahawan berhubung Dokumen DR.13 Tahun 2019:  Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Keempat Belas Berhubung Pembangunan Air Mobility di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Industri (MITI) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM)/

Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP)

Pada 9 Ogos 2019, Kerajaan bersetuju bahawa dana sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi membangunkan inovasi dan penyelidikan dan pembangunan Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) serta DreamEdge dan MIGHT dilantik sebagai peneraju NNCP. Pemilihan tersebut adalah berdasarkan kepakaran syarikat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kemampuan pembangunan teknologi baharu berkaitan automotif dengan kerjasama Daihatsu sebagai technology solutions partner.

Objektif NNCP adalah untuk membangunkan teknologi baharu yang jimat tenaga dan menggunakan sistem hibrid yang mana syarikat ini memiliki kepakaran untuk melaksanakannya.

Dana ini juga tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pembangunan projek dron dan kereta terbang/ super drone (air mobility) yang dibangunkan oleh syarikat Aerodyne. Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) tidak mempunyai peruntukan dan kuasa untuk meluluskan dana bagi tujuan pelaburan dalam sebarang projek dron seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar.

Projek Drone/ Flying Vehicle dalam industri Air Mobility

Pada 5 Mac 2019, Kementerian telah melawat syarikat Aerodyne Group bagi melihat perkembangan projek-projek dron hasil dari teknologi dron yang berasaskan Artifical Intelligence, Data Analytics, Turnkey Application yang dibangunkan oleh kepakaran rakyat Malaysia. Kini, syarikat Aerodyne berada di kedudukan ketiga dunia berdasarkan laporan Drone Industry Insights.

Selain perkembangan industri dron, syarikat telah membentangkan cadangan pembangunan kenderaan air mobility yang mempunyai fungsi seperti vertical take off, dikuasai oleh elektrik dan interchangeable payload. Pembangunan kenderaan air mobility ini akan mengaplikasikan sistem yang dibangunkan sendiri oleh syarikat tersebut.

Pada 25-29 Mac 2019, Aerodyne telah mempamerkan Vector, kenderaan air mobility dalam bentuk scale model sempena penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA).

Majlis Pembangunan Negara (MPN) pada 20 Disember 2018 telah mengenal pasti Cyberjaya sebagai platform test-bed untuk menguji teknologi dan inovasi baharu termasuk autonomous, drone dan air mobility. Platform test-bed ini akan memastikan wujudnya ekosistem yang kondusif bagi pembangunan air mobility di Malaysia.

Kementerian telah mengadakan penyelarasan untuk membincangkan hala tuju dan keperluan industri Air Mobility bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Selain daripada itu, Kementerian Pengangkutan telah mengadakan sesi libat urus pada 5 September 2019 bersama agensi-agensi pelaksana untuk merangka dasar, perlesenan dan garis panduan bagi memastikan kelancaran pembangunan ekosistem industri air mobility.

Projek ini akan diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan. Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada Kerajaan dan oleh itu, ianya tidak dibawa ke peringkat MPN atau Mesyuarat Jemaah Menteri kerana tidak memerlukan sebarang keputusan Kerajaan.

Kementerian sekadar memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam pembangunan ekosistem industri terutamanya dalam aspek sokongan industri dan kapasiti syarikat tempatan untuk membangunkan industri ini. Projek ini diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh Aerodyne Group, sebuah syarikat tempatan. Selain daripada Aerodyne Group, Kementerian juga turut bekerjasama dengan lain-lain syarikat dalam sektor yang sama.

Berbanding dengan NNCP, projek dron ini bukanlah satu projek nasional, sebaliknya, peranan Kementerian adalah untuk menyokong dan memudah cara pembangunan usahawan PKS yang berinovasi tinggi, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) – di bawah Teras Strategik 5 untuk memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, automatif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal.

Maklumbalas MED terhadap Syor PAC

Kementerian Pembangunan Usahawan telah dijemput menghadiri prosiding berhubung Pembangunan Projek Air Mobility pada 14 Mei 2019 oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan telah memaklumkan kepada PAC beberapa perkara seperti berikut:

  • perkembangan semasa dan justifikasi projek Air Mobility; dan
  • pembangunan prototaip Air Mobility serta hak milik intelektual termasuk reka bentuk dan perisian Air Mobility adalah di bawah tanggungjawab syarikat yang membangunkan projek tersebut, termasuk kos berkaitan di mana pihak Kementerian tidak membelanjakan sebarang peruntukan.

Kementerian ingin menegaskan bahawa tiada keperluan supaya Kementerian menjalankan audit kewangan dan harta intelek ke atas syarikat Aerodyne Group kerana projek ini bukanlah merupakan perolehan Kerajaan yang biasa dijalankan. Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada Kementerian dan Kementerian tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti yang dirancang.

MED mengambil maklum rumusan dan cadangan PAC berkaitan dengan Air mobility. Pihak Kementerian sedang menyediakan maklum balas yang lengkap. Walau apa pun, maklumat yang dikemukakan oleh Kementerian ini adalah berdasarkan maklumat yang berada dalam Kementerian. Maklumat berkenaan tindakan agensi lain akan dilihat kembali oleh Kementerian.

MED akan sentiasa menjalinkan kerjasama secara berterusan dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi mencapai objektif yang disasarkan di bawah DKN 2030. Walaupun begitu, usahawan-usahawan yang ingin menceburi industri tersebut haruslah akur dan memahami peraturan dan undang-undang sedia ada dan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di negara ini terhadap proses penguatkuasaan dan pemantauan sebarang aktiviti berkaitan.

 

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN

28 NOVEMBER 2019