Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Aerodyne Ventures Sdn. Bhd., menafikan mendapat bantuan kewangan kerajaan untuk projek mobiliti udara urban (UAM) seperti yang digembar-gemburkan ramai.

Malah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul A Muhammad berkata, mereka tidak pernah mengambil sebarang geran daripada mana-mana agensi kerajaan.

Malah, syarikat itu pernah menolak geran berjumlah RM2 juta daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kerana merasakan dana tersebut lebih baik disalurkan kepada usahawan-usahawan yang lebih memerlukan.

“Aerodyne telah berkembang di 25 negara dengan lebih 330 pekerja di seluruh dunia walaupun hanya menerima bantuan yang sangat sedikit daripada kerajaan.

“Tiada geran yang pernah diambil daripada mana-mana agensi kerajaan.

“Kami sangat berterima kasih tetapi akhirnya terpaksa menolak dengan baik geran bernilai RM2 juta yang dinilai secara bebas dan diluluskan oleh MDEC.

“Mengapa? Kerana kami tidak perlukan pertolongan (daripada kerajaan).

“Saya lebih rela dana tersebut digunakan oleh usahawan-usahawan lain yang lebih memerlukan.

“Dalam pada itu, MDEC menerusi program GAIN mereka telah memainkan peranan besar di dalam menghubungkan kami dengan pasaran global,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Kamarul turut mengalu-alukan audit dilakukan bagi mengesahkan perkara tersebut.

Tambahnya, Aerodyne tidak pernah menghubungi Kementerian Pembangunan Usahawan bagi mendapatkan sebarang bantuan melainkan berkenaan rangka kerja dan peraturan mengenai dron di Malaysia.

“Malah pembangunan UAM terpaksa ditangguhkan sejak Ogos 2019 kerana perniagaan teras kami, iaitu dron berkembang sangat pantas di seluruh dunia dan 100 peratus ditumpukan kepada peluasan perniagaan.

“UAM adalah sebuah perjalanan yang panjang dan tidak akan menjadi produk arus perdana sekurang-kurangnya sehingga 2025.

“Tiada sebab untuk Aerodyne fokus kepada perkara ini sekarang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kamarul menjelaskan, Aerodyne berjaya mendapatkan satu siri pelaburan B bernilai AS$30 juta baru-baru ini yang turut merangkumi pelaburan berjumlah RM20 juta daripada Malaysian Venture Tech.

Pelabur dan pelabur berpotensi lain adalah dari Indonesia, Korea, China dan Jepun.

“Pelaburan tersebut adalah 100 peratus untuk kegunaan peluasan perniagaan dron kami sahaja. Ini telah dilaporkan dalam berita secara umum. Tiada yang baharu,” tegasnya.

Luah Kamarul, beliau tidak menyangka pertemuannya dengan Kementerian Pembangunan Usahawan serta beberapa agensi lain awal tahun ini telah memakan diri sendiri sedangkan mesyuarat tersebut adalah mengenai bagaimana Aerodyne boleh memberi sumbangan kepada negara di samping membantu membentuk masa hadapan Malaysia.

Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya memberitahu, projek kereta terbang telah menerima dana berjumlah RM20 juta daripada kerajaan meskipun dikatakan sebagai sebuah projek inisiatif swasta.

Katanya, Malaysian Industry-Government group for High Technology (MIGHT) telah meluluskan pelaburan berjumlah RM20 juta kepada Aerodyne Ventures Sdn. Bhd.

Syarikat tersebut katanya, telah menerima wang berkenaan pada November.

Menurut Kamarul, PAC tidak pernah memanggil beliau untuk bercakap mahu pun menanyakan sebarang soalan kepadanya.

“Saya tidak berminat dengan politik. Kebenaran yang sudah ramai tahu akan diketahui oleh orang lain juga nanti,” katanya lagi.- MalaysiaGazette