Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil. foto FAREEZ FADZIL, 29 NOVEMBER 2019

PETALING JAYA – PKR hari ini menjelaskan bahawa pemecatan Pengerusi Tetap Ketua Pemuda PKR (AMK), Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad tidak memberikan kesan kepada pendaftaran parti itu.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana hanya parti yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). dan bukannya sayap AMK.

“Setakat ini tak jadi isu kerana isu Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap ini adalah di bawah bidang kuasa peraturan bagi sayap AMK dan tak libatkan badan utama seperti cabang dan parti PKR itu sendiri.

“Mengikut pandangan kepimpinan tak jejaskan satu perkara pun dalam isu yang dibangkitkan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Fahmi menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Mizan Adli dan Mohd Ramly yang memberi amaran tindakan pemecatan tersebut boleh menyebabkan risiko PKR diharamkan.

Rabu lalu, setiausaha AMK, Ahmad SYukri Razak dalam suratnya memaklumkan kedua-duanya dilucutkan jawatan kerana ada keraguan yang timbul daripada pemilihan mereka.

Malah pengiraan secara manual mendapati mereka menerima jumlah undi yang lebih tinggi daripada jumlah perwakilan yang layak mengundi.

Dalam surat bertarikh 27 November yang dimajukan kepada kedua-dua mereka menyatakan parti itu menamatkan jawatan mereka kerana berusia lebih 35 tahun dan jumlah undi yang diterima mereka lebih banyak daripada perwakilan yang hadir dalam Kongres Nasional Pemuda PKR tahun lepas. -MalaysiaGazette