Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa (kiri) menerima cenderamata dari Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong (kanan) ketika hadir pada Seminar Akademik Antarabangsa "Menerokai Masa Depan Pendidikan, Konsep, Metodologi dan Pragmatik" di Dewan Auditorium, Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 30 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Cabaran besar merealisasikan misi pendidikan di negara ini bermula dengan persoalan bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam suasana peningkatan hubungan antara kaum yang tercemar.

Tambahan pula dengan peningkatan ucapan kebencian dan gelagat ahli politik yang menjurus kepada perkauman dan pandangan agama yang sempit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, bidang pendidikan semasa perlu memahami bahawa tanpa satu visi dan misi nasional yang jelas, rakyat akan terheret dengan agenda kepentingan kumpulan sempit.

“Mempertahankan apa yang kita anggap benar dan betul bukanlah isu sebenarnya tetapi pendekatan hikmah, sikap rahmah dan punya kebijaksanaan adalah cabaran sebenarnya. Ini yang kita leka sekarang di negara ini.

“Kepelbagaian menuntut rentak kita diharmonikan dengan rentak lain agar tidak melahirkan tarian yang sumbang. Keharmonian irama dan lagu tidak dapat dikecapi sekiranya kita mengambil langkah sendiri yang dibalas dengan langkah yang semakin tidak harmonis.

“Harmoni menuntut hasil yang tersusun dengan masing-masing berperanan di tempatnya dan akur dengan perancangan awal dari ketua yang melihat kepentingan semua pihak supaya persembahannya menjadi yang terbaik.

“Kepelbagaian jika tidak dirangkuk akan membawa kepada dua jalur ekstrim yang boleh menjejaskan bidang pendidikan negara iaitu satu jalur kasar dan keras dalam menafsirkan kehendak kaum dan agama manakala satu lagi ekstrim ialah jalur kebimbangan yang tidak berasas kepada apa sahaja yang dianggap asing atas nama menjaga kepentingan lalu lahirkan sikap prejudis atau xenophobia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Seminar Akademik Antarabangsa bertajuk Menerokai Masa Depan Pendidikan, Konsep, Metodologi dan Pragmatik di Dewan Auditorium Sekolah Menengah Tsun Jin di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berucap pada Seminar Akademik Antarabangsa “Menerokai Masa Depan Pendidikan, Konsep, Metodologi dan Pragmatik” di Dewan Auditorium, Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 30 NOVEMBER 2019.

Tambah Mujahid, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menemukan jalur ekstrim ini dititik tengah bagi memenuhi kehendak Malaysia Baharu bukan nafsu haloba diri.

Katanya, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah hasrat yang cuba diterjemahkan kerajaan hari ini dengan pendekatan nilai R.A.H.M.A.H bagi menangani dua jalur berbahaya ini iaitu setiap huruf di atas adalah Kesejahteraan dan Kepentingan bersama, iaitu R-Ramah, A-Aman, H-Harmoni,M-Mesra A-Alami dan H-Hormat.

Menurutnya, bukan mudah melakar fasa Malaysia Baharu yang sedang rakyat lalui dan kehendak rakyat menuntut perubahan politik sehingga membawa Pakatan Harapan di persada kuasa adalah mandat kepada cita-cita yang murni.

“Saya cakap ikhlas dari hati saya dan bukan mengikut sekadar teks ucapan yang diberikan maka saya buat kerja rumah sedikit yang mana penting dalam dasar pendidikan negara ialah untuk mengemaskini keperluan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin dengan melahirkan tenaga kerja rakyat memenuhi pembangunan negara.

“Dalam keadaan mencabar ini, method dan teknologi apakah kita bergerak ke arah itu? Itu soalan penting yang kita perlu tanya diri sendiri…kamu beri dan ambil menerusi rendah diri itulah kejayaan dasar pendidkan kita dalam susana diversiti.

“Peranan Pendidikan Nasional dinilai semula dengan perkembangan baru pada tahun 1974 bertujuan mengemaskini keperluan bagi melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta melahirkan tenaga kerja rakyat bagi memenuhi pembangunan negara.

“Demikianlah perpaduan menjadi agenda utama memacu pembangunan negara soalnya apa semua kita bergerak ke arah tersebut dalam kegiatan kita seharian? Atau kita hanya melihat kepentingan diri kita lebih utama daripada bergerak mencapai sebuah negara nasional yang telah disepakati oleh semua pihak?

“Ingatlah bahawa kehidupan ialah tentang kadar keseimbangan antara apa yang kita ingini dan apa yang harus kita berikan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.