KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meningkat dan menjadikan paras sokongan 4.145 sebagai nilai tumpuan sekiranya minat risiko melonjak secara ketara minggu depan dengan perkembangan memberangsangkan daripada rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kata peniaga.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata menjelang minggu depan, kenaikan dolar AS seterusnya atau sentimen enggan mengambil risiko boleh menyebabkan ringgit terdorong kepada paras 4.20, yang menjadi paras rintangan utama bagi perbandingan dua mata wang tersebut sejak September.

“Peningkatan ketara minat risiko, secara potensinya dipacu oleh perkembangan positif rundingan perdagangan AS-China, boleh membawa paras sokongan 4.145 ke arah tumpuan, yang hampir kepada purata pergerakan 200 hari perbandingan dua mata wang tersebut ketika ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi minggu yang baru berakhir, apabila mata wang Asia mengharungi prestasi bercampur-campur berbanding dolar AS, ringgit susut menghampiri paras 4.19 selepas melepasi di atas purata pergerakan 50 harinya, sebelum menyederhana pada separuh kedua minggu ini.

“Ringgit kini mencatatkan kenaikan bagi tiga bulan berturut-turut berbanding dolar AS.

“Tindakan pasaran minggu ini sekali lagi menekankan pengaruh bahawa rundingan perdagangan AS-China yang masih diusahakan menimbulkan minat risiko global, memandangkan para pelabur terus mengharapkan perjanjian perdagangan terhad antara kedua-dua kuasa ekonomi terbesar di dunia itu,” katanya.

Beliau berkata penurunan bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dari seluruh dunia dalam tempoh beberapa hari akan datang akan mempengaruhi penilaian ekonomi global pada suku semasa, walaupun pelabur terus berharap rundingan perjanjian perdagangan terhad AS-China akan membuahkan hasil dalam usaha mengurangkan sedikit tekanan daripada ekonomi global.

“Selagi wujud keyakinan terhadap perjanjian dagangan AS-China, sebarang pengumuman data ekonomi yang suram hanya memberi impak terhad ke atas sentimen risiko global,” katanya.

Tan berkata, Indeks Dolar AS (DXY) mencatatkan kemerosotan pada Disember bagi tempoh sejak dua tahun lepas.

Oleh yang demikian, kenaikan dolar juga akan bergantung kepada data pembayaran gaji bukan ladang AS yang dikeluarkan pada Jumaat dalam usaha meletakkan asas pergerakan DXY bagi Disember 2019, katanya.

“Data yang lebih tinggi berbanding jangkaan 190,000 pekerjaan yang ditambah pada November akan membantu meningkatkan aset AS, pada masa sama mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah AS tidak berubah bagi tempoh separuh pertama 2020,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu termasuk Rusia, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai OPEC+, mungkin mengekalkan program pengurangan bekalan pada paras semasa sementara menunggu pemuktamadan rundingan perdagangan AS-China yang sedang berterusan, memandangkan pakatan pengeluar minyak utama tersebut berhimpun di Vienna minggu ini.

“Dengan OPEC menjangkakan pasaran minyak global akan mengurangkan situasi lebihan bekalan pada separuh pertama 2020, pertambahan bekalan minyak buat masa ini dihadkan, menunggu untuk dilonjakkan apabila perjanjian perdagangan AS-China fasa satu dimuktamadkan secara rasmi, yang akan membantu memberi kejelasan kepada beberapa ketidaktentuan permintaan,” katanya.

Kalendar ekonomi Malaysia bagi minggu pertama Disember akan mengetengahkan prestasi sektor pembuatan negara pada November, serta angka perdagangan luaran Oktober.

Walaupun kedua-dua data tersebut dijangka menunjukkan penurunan, ia dilihat memberi kesan terhad ke atas dolar AS berbanding ringgit, yang mana sebahagian besarnya tetap dipengaruhi oleh faktor luaran.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, unit tempatan susut kepada 4.1750/1780 berbanding dolar AS daripada 4.1700/1750 yang dicatatkan seminggu sebelumnya.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0550/0579 berbanding 3.0590/0638 minggu lepas serta meningkat berbanding yen kepada 3.8100/8138 daripada 3.8412/8469.

Mata wang tempatan juga stabil berbanding euro kepada 4.5938/5987 daripada 4.6116/6188 namun rendah berbanding pound kepada 5.3807/3859 daripada 5.3672/3753. – MalaysiaGazette