Ong Kim Swee

MANILA – Malaysia masih buntu mencari kemenangan pertama dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-30, apabila tewas 0-1 kepada Filipina di Stadium Memorial Rizal, malam ini.

Keputusan dalam aksi Kumpulan A itu menyaksikan sejarah Sukan SEA 1991 berulang, apabila Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada tuan rumah di venue yang sama.

Berbekalkan kelebihan fizikal dan beraksi di laman sendiri, skuad ‘The Junior Azkals’ bermula garang dengan melakukan beberapa serangan pantas yang mencemaskan barisan pertahanan negara, sebelum pemain Malaysia mula menemui rentak.

Skuad B-22 negara kemudian mendapat peluang membuka jaringan, namun sepakan percuma kapten pasukan, Nur Adam Azlin ditangkap kemas oleh penjaga gol Filipina, Anthony Pinthus pada minit ke-23.

Pasukan tuan rumah kemudian menghukum Malaysia, apabila penjaga gawang negara, Muhammad Haziq Nadzli gagal menampan keluar sepakan penjuru Schrock, sebelum Amani Manuel Aguildo menghadiahkan jaringan tunggal pada minit ke-72.

Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 menentang Myanmar dalam perlawanan pertama pada Isnin, manakala Filipina turut terikat 1-1 menentang Kemboja, sebelum tewas 1-2 kepada Myanmar dua hari lepas.

Dalam satu lagi aksi kumpulan sama petang tadi, Myanmar menewaskan Timor Leste 3-1.

Keputusan hari ini menyaksikan Malaysia menduduki tempat keempat dengan satu mata selepas dua perlawanan, manakala Myanmar berada di kedudukan teratas dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan, diikuti Kemboja dan Filipina masing-masing dengan empat mata.

Skuad Harimau Muda selepas ini akan berjumpa Timor Leste pada Isnin, sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Kemboja pada Rabu.

Kali terakhir Malaysia meraih emas adalah pada edisi 2011 di Indonesia, manakala pada edisi 2017 di KL, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Thailand.

Pengendali skuad B-22 negara Datuk Ong Kim Swee berkata para pemain perlu pertingkatkan prestasi mereka, bagi menghadapi dua lagi baki perlawanan, kerana yakin skuad bimbingannya masih mempunyai peluang, untuk ke peringkat seterusnya.

“Para pemain perlu perbaiki sekarang dan tunjukkan permainan sebenar untuk menang dua perlawanan seterusnya. Secara kiraannya, kita masih berpeluang untuk layak ke separuh akhir,” katanya.

Sementara itu, pasukan wanita pula dibelasah 5-0 oleh Filipina dalam aksi sulung mereka dalam Kumpulan A, di Stadium Bola Sepak Binan.

Skuad kendalian Jacob Joseph itu akan bertemu Myanmar pada Isnin untuk melengkapkan jadual peringkat kumpulan, di mana dua pasukan teratas akan mara ke pusingan separuh akhir.- BERNAMA

1 Komen

  1. Hairan….. mengapakah sebebelum mereka berlepas ke Manila, semua pihak meletakkan pasukan bolasepak negara sebagai penyumbang “ibu segala pingat”. Pihak media khususnya “Bola Mamak” Astro Arwani boleh dikatakan tiap2 hari mencanangkan tentang kehebatan pasukan bolasepak negara. Masih teringat akan kata2 salah seorang ahli penalnya (bekas pemain bolasepak negara) yg mengatakan inilah “pasukan emas” negara yg terlalu sukar buat Dato Kim Swee utk buat pilihan – kerana semua pelatih terdiri dari pemain yg hebat2 belaka.

    Mereka sering berkata….. hanya pemain bola saja yg “kenal permainan bolasepak” berbanding pihak pengurusan yg “buta” mengenainya. Sekarang apa pula yg mereka nak kata…..

    Sebenarnya kita tiada playmaker yg boleh merencanakan permainan. Kelibat2 pemain “over age” seperti Brenden Gan dan Baddrul sangat diperlukan.

    Pasukan Filipina mengambil peluang dengan peraturan yg membolehkan dua pemain overage berada dlm skuad. Mereka telah menyenaraikan pemain terbaik mereka…… dan kesannya – kau fikirlah sendiri!!!

    Mengapa Malaysia tidak mengambil peluang tersebut?

    Berdasarkan kpd mutu permainan pasukan Msia (setelah bermain dgn Myanmar dan Filipina) – agak2nya pasukan kita lebih baik sedikit dari pasukan Timur Liste dan Brunai DS.

    Sukar diungkap tetapi itu lah hakikatnya. Diharap ia tidak begitu……

Comments are closed.