Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menggunakan keseluruhan dana Tabung Harapan Malaysia (THM) dengan pembayaran sebanyak RM61,680,261.87 bagi pelunasan bayaran faedah sukuk Note Jangka Pendek 1MDB pada 28 November lalu.

Pembayaran sebanyak RM61.68 juta yang dibiayai oleh dana THM hanya sebahagian daripada jumlah pembayaran faedah IMTN yang berjumlah RM143.75 juta.

Baki sebanyak RM82.07 juta telah dibiayai melalui dana pemulihan aset 1MDB yang berjumlah kira-kira RM1.45 bilion setakat ini, kata Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan itu berkata, setakat 14 Januari lalu baki akhir THM iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan adalah berjumlah RM202,716,775.

Faedah pelaburan pula sebanyak RM2,774,444 telah diterima dan ini menjadikan jumlah besar dalam akaun amanah THM adalah sebanyak RM205,491,219.

“Hutang 1MDB pada masa ini adalah berjumlah RM50.5 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

“Dengan pembayaran terakhir sebanyak RM61.68 juta maka dana THM sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, kerajaan komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Bayaran seterusnya yang perlu dibuat oleh 1MDB adalah bayaran faedah bon terbitan 1MDB Global Investments Limited (GIL) sebanyak AS$66 juta yang akan dibayar pada 9 Mac 2020.

Secara keseluruhannya, sebanyak RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang-hutang 1MDB. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sila kasi statement dalam Parliament supaya boleh dicatat hansard! Kalu tersilap titik perpuluhan, ahli2 dewan boleh berbahas kasi perbetulkan… Bahahaha… Paloi!

Comments are closed.