Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang juga Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid bercakap kepada media selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Zakaria Abdul Hamid yang dipecat daripada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mendakwa hak beliau untuk dibicarakan dalam Lembaga Disiplin cuba dinafikan oleh setiausaha agung dan presiden parti itu.

Zakaria menyifatkan tindakan itu sebagai zalim sedangkan hak asasi masih diberikan kepada seorang pembunuh walaupun dijauhi hukuman di mahkamah.

“Hak asasi asas begini telah diberikan kepada, waima seorang pembunuh, namun telah dinafikan ke atas saya.

“Sebaliknya, Presiden dan Setiausaha Agung telah menyerang saya melalui liputan media.

“Saya ini sekadar anggota parti yang kerdil tetapi saya telah diserang bertubi-tubi tanpa belas kasihan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, semalam.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Lembaga Disiplin memecat dua anggotanya berdasarkan kepada syor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim memecat serta-merta pada Ahad lepas dua ahli PKR dari Pahang selepas dipercayai terbabit dengan kes rasuah dan suapan ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Pemecatan itu melibatkan Zakaria selaku Ketua Cabang PKR Bera dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi.

Menurut Ahmad, Lembaga Disiplin PKR sebelum ini menerima sepucuk surat daripada SPRM bertarikh 23 Oktober lalu berkenaan salah laku berkenaan.

Dalam pada itu, Zakaria melahirkan rasa kecewa dengan tindakan tidak adil didakwa atas arahan Anwar yang terkenal sebagai ikon reformasi di negara ini.

“Adakah politik kepartian ini tidak lagi dapat membezakan antara yang hak dan yang batil,” katanya.

Zakaria juga terkejut apabila Saifuddin Nasution cuba memutarbekitkan fakta dalam surat yang dihantar SPRM kepada Lembaga Disiplin mengenainya laporan siasatan badan itu.

“Saya telah memberitahu anggota-anggota ranting bahawa terdapat projek kecil Kementerian Perumahan diiklankan oleh majlis daerah yang boleh dimohon oleh anggota parti sekiranya mereka mempunyai lesen kontraktor G1.

“Ingin saya tegaskan bahawa mereka hanya bertanya bagaimana untuk memohon projek itu. Adakah itu satu kesalahan?

“Keputusan muktamad terletak kepada pihak berkuasa untuk memberikan projek tersebut kepada para pemohon yang layak. Tiada seorang pun yang hadir mesyuarat itu berjaya memperolehi projek,” katanya.

Zakaria turut melahirkan rasa kecewa terhadap Saifuddin dan Anwar yang berniat jahat memberi persepsi beliau melakukan rasuah sedangkan tiada pendakwaan dilakukan oleh SPRM terhadapnya.

“Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki telah mengesahkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya telah membuat keputusan tiada pendakwaan terhadap saya.

“Adalah sangat biadap, angkuh dan berniat jahat oleh Anwar dan Saifudin untuk memberikan persepsi yang salah bahawa saya telah melakukan kesalahan rasuah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Tak ada maaf bagi mana pihak yg korupsi. Jgn buat hal sbb pihak SPRM dah bagi arahan kepada parti untuk mengambil tindakan pecat.

Comments are closed.