KUALA LUMPUR – Beberapa rakan kongsi Liga Malaysia menyokong pelantikan Datuk Ab Ghani Hassan selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) yang disifatkan orang yang tepat dalam memacu badan pentadbir Liga Malaysia pada masa akan datang.

Antaranya Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah(KFA), Shahrul Samsudin, yang menyambut positif kehadiran Ghani dan mengakui banyak cabaran sedang menanti jika dilihat pada situasi mutakhir MFL masa kini.

Bagaimanapun, beliau optimis di atas pengalaman dan kewibawaan yang dimiliki Ghani, MFL mampu menjaga kepentingan semua rakan kongsi liga bagi menghadapi musim 2020.

“Di pihak KFA, kami terima dengan baik pelantikan beliau (Ghani) selaku pemangku untuk melicinkan segala hal ehwal pentadbiran MFL.

“Ada beberapa perkara antara MFL dan rakan kongsi liga saya harap mampu capai kata putus terutama pengumuman kalendar musim 2020 dan isu hak penyiaran.

“Bagaimanapun, KFA meletakkan harapan tinggi kepada Datuk Ab Ghani mampu melihat perkara-perkara begini dan boleh selesaikan dalam masa terdekat, demi kepentingan semua rakan kongsi liga, ” katanya.

MFL pada Sabtu lalu mengumumkan peletakan jawatan Kevin Ramalingam selaku CEO yang berkuatkuasa sehari sebelum itu.

Keputusan itu dibuat menerusi persetujuan bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah selepas menerima permohonan peletakan jawatan Kevin pada Khamis lalu.

Bagi melancarkan pentadbiran badan pentadbir Liga Malaysia itu, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin telah melantik Ahli Lembaga Pengarah, Ghani sebagai pemangku CEO berkuatkuasa pada 1 Disember ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, melihat perspektif pelantikan Ghani sebagai pemudahcara kepada jalinan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

“Felda United melihat pemangku CEO MFL yang juga adalah Naib Presiden FAM akan memudahkan semua perkara-perkara berkaitan bola sepak boleh diselaraskan dan memacu MFL kearah lebih sistematik tanpa ada masalah-masalah besar.

“Harapan kami agar dengan pelantikan pemangku CEO MFL ini, MFL lebih proaktif serta dapat membantu semua kelab-kelab dalam memastikan liga malaysia terus berdaya saing dan lebih profesional.

“Felda United akan terus bekerjasama dan menjalinkan hubungan yang baik dengan MFL demi kelangsungan bolasepak negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.