Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memberi penjelasan kepada rakyat bagaimana abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), mendiang Chin Peng boleh dibawa pulang.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan perkara itu sebagai serius dan menegaskan situasi yang sama boleh digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeruhkan keadaan.

Seterusnya, katanya, kerajaan Pakatan Harapan akan menerima tanggapan yang salah daripada rakyat.

“Sebagai bekas Menteri Pertahanan, ini perkara yang saya amat prihatin. Jangan bermain dengan emosi rakyat. Kalau pun berlaku tolong jelaskan kepada rakyat jadi tidak akan ada tanggapan yang salah.

“Ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan dan menimbulkan situasi yang tidak dapat dibendungkan masa itu kita ralat sudah terlewat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Hishammuddin terdahulu menyifatkan kerajaan sedang bermain dengan api dan emosi rakyat kerana membiarkan kemarahan kian memuncak apabila abu mayat bukan sahaja telah dibawa balik malah telah ditabur di laut berdekatan Lumut, Perak.

Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong mempersoalkan apa yang boleh berlaku pada negara kelak sekiranya Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai maklumat tentang perkara sebegini.

“Ia ada salah dan bahaya. Apabila KDN menyatakan mereka sendiri tidak tahu bahawa abu mendiang Chin Peng dibawa kembali ini menunjukkan bahawa perkara-perkara yang cukup sensitif yang akan menyentuh emosi keluarga-keluarga yang kehilangan keluarga sendiri semasa berdepan darurat dan sebagainya.

“Saya bimbang jika perkara-perkara begini tidak dibincangkan dengan pihak-pihak yang berkepentingan. Kalau KDN tidak tahu bagaimana ia boleh terjadi, apa lagi yang boleh jadi nanti?”soal beliau.

Pada Jumaat yang lalu, lima individu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat Chin Peng, ke negara ini.-MalaysiaGazette