Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin. foto SYAFIQ AMBAK, 02 DISEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia mengkaji cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segala urusan pekerja asing dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia (MOHR).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, saranan SPRM itu bertujuan untuk mengelak perlakuan rasuah melibatkan urusan pekerja asing di negara ini akan dipertimbangkan secara mendalam.

“Kita boleh teliti apa yang dicadangkan oleh SPRM dalam soal menguruskan pekerja asing dan mengambil kira segala saranan mereka sama ada wajar atau tidak akan diteliti lebih lanjut,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Imigresen di Ibu Pejabat Imigresen hari ini.

Sepertimana diketahui umum kata Muhyiddin, setiap mereka yang datang ke negara ini sama ada untuk bekerja dan melancong perlu melalui pintu masuk ke negara ini berdasarkan dasar undang undang sedia ada.

“Cuma mereka selepas masuk akan mendapatkan permit untuk bekerja dan tertakluk dengan undang-undang pekerjaan dan akta berkaitan di bawah Kementerian Sumber Manusia termasuk pembayaran gaji yang diwajibkan ke atas majikan yang merekrut mereka.

“Tapi kalau mereka tidak bekerja dan menyalahgunakan pas pekerja sehingga melampaui tempoh yang ditetapkan dan tak balik negara asal maka imigresen masih ada kuasa untuk menahan dan menghukum mereka berdasarkan undang-undang sedia ada,” ujarnya lagi.

Muhyiddin sebelum itu diminta mengulas mengenai penangkapan sindiket penipuan penipuan terbesar warga China seramai 680 orang November lalu dan tindakan awal boleh dilaksanakan di pintu masuk utama negara selepas itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, warga negara China yang masuk ke negara atas tujuan pas lawatan sosial dan melakukan hal melampaui undang-undang akan diambil tindakan oleh polis.

“Kalau kita kata mereka masuk dari negara asal mereka iaitu dari China contohnya dengan tujuan pas lawatan biasa dan kita pula tangkap awal dengan tanggapan dia akan melakukan perkara-perkara sebegitu (judi penipuan online), bagi saya ia tak seberapa tepat.

“Nanti di kemudian tindakan itu akan mencetuskan buruk sangka di peringkat awal kecuali apabila mereka sudah lakukan hal begitu, tindakan boleh diambil imigresen atau polis akan siasat dengan bukti-bukti sah sama ada mereka hadapi hukuman atau bawa pergi ke mahkamah.

“Yang penting di sini adalah wujudnya penguatkuasaan dan dengan maklumat orang ramai ia boleh bantu kita mencegah awal,” ujarnya.

Muhyiddin memberitahu, perkara itu telah dibincangkan bersama menteri China dan juga Kedutaan Besar republik itu dalam pertemuan dua hala di Bangkok baru baru ini dan China bersedia membantu Malaysia menangani masalah berkenaan.

“Cara tangani masalah itu terserah pada merekalah mungkin dia akan minta rakyat dia yang melancong ke Malaysia supaya tidak melakukan hal-hal tidak elok sehingga melanggar undang-undang yang akan membawa imej buruk pada negara mereka,” tegasnya.-MalaysiaGazette