MANILA – Pasukan bola sepak lelaki Malaysia akhirnya menemui rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan Timor Leste 4-0 pada aksi peringkat Kumpulan A, Sukan SEA ke-30, di Stadium Memorial Rizal, di sini malam ini.

Pengendali pasukan Bawah (B)-22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee kembali menyenaraikan dua bintang skuad B-18 negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Umar Hakeem dalam kesebelasan utama, manakala tempat Muhammad Akhyar Abdul Rashid, yang sebelum ini mengalami kecederaan buku lali, diisi oleh Mohamad Faisal Abdul Halim.

Turun dengan misi wajib menang besar untuk mencerahkan peluang ke pusingan separuh akhir, skuad negara bermula garang, namun pemain Timor Leste, Filomeno Junior da Costa menghadiahkan gol kepada Malaysia, apabila tertendang bola ke dalam gawang sendiri seawal minit kelima.

Penyerang yang beraksi untuk kelab Fagiano Okayama di Liga J2 Jepun, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak kemudian menggandakan jaringan selepas menyempurnakan hantaran pendek dari Muhammad Syahmi Safari pada ke-34, yang gagal dihalang oleh barisan pertahanan Timor Leste.

Pemain berusia 19 tahun itu, kemudian pada minit ke-44, mengambil baik peluang dengan menolak masuk bola yang melantun daripada percubaan Mohamad Faisal yang terkena tiang.

Bersambung babak kedua, Kim Swee membawa masuk Muhammad Akhyar dengan mengeluarkan Mohamad Faisal.

Keputusan tersebut menyaksikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, menyempurnakan hantaran baik pemain gantian, R. Kogileswaran Raj pada minit ke-81 untuk mengesahkan kemenangan 4-0.

Malaysia membuka kempen dengan keputusan terikat 1-1 menentang Myanmar pada Isnin lalu, sebelum dikejutkan dengan kekalahan 0-1 oleh tuan rumah, Filipina pada Jumaat lepas, manakala Timor Leste dibelasah Kemboja 5-0, sebelum tewas 1-3 kepada Myanmar.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, malam ini, Myanmar mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kemboja di Stadium Bola Sepak Binan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Skuad negara dijangka menerima cabaran sengit menentang Kemboja pada Rabu ini, apabila kedua-dua pasukan bakal merebut peluang ke pusingan separuh akhir, namun ia bergantung kepada keputusan aksi di antara Filipina dan Timor Leste.

Menerusi kemenangan ini, Malaysia kini menduduki tempat ketiga berdasarkan perbezaan jaringan walaupun berkongsi empat mata bersama Kemboja yang berada di kedudukan kedua dan Filipina yang berada di kedudukan keempat, manakala Myanmar berada di kedudukan teratas dengan 10 mata. – Bernama

1 Komen

  1. Pertandingan malam ini seru banget ya, meski tulisan yang dibuat lebih condong kepada tim sebelah, tapi pertandingan yang telah berlangsung tampak seru dan membuat kita bersemangat.

Comments are closed.