TIRANA – Sekurang-kurangnya 52 buah sekolah serta tadika di Albania rosak akibat gempa bumi yang melanda negara itu pada 26 Nov dan tiada kelas boleh diadakan di dalam semua bangunan ini, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Menteri Pendidikan, Sukan dan Belia Albania Besa Shahini pada Ahad.

Gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter itu menggegar Albania pada 26 Nov di bandar pelabuhan Durres dan pekan berhampiran Thumane.

Setakat ini, 51 orang maut manakala 913 lagi cedera dalam bencana alam itu, menurut Kementerian Kesihatan dan Perlindungan Sosial Albania.

Menurut Shahini, di wilayah Durres yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi itu, terdapat 16 buah sekolah dan tadika yang sama ada rosak teruk atau sedikit dan perlu diperbaiki serta tidak boleh dibuka untuk pelajar.

“Sejumlah 23 sekolah sama ada rosak teruk atau sedikit di wilayah Tirana dan tidak boleh dibuka semula dengan segera.

“Di wilayah Lezha dan Elbasan, masing-masing terdapat 10 dan tiga buah sekolah serta tadika yang rosak,” kata Shahini.

Menteri itu mengumumkan bahawa kelas di wilayah-wilayah Durres dan Tirana masing-masing ditangguhkan sehingga 9 Dis dan 5 Dis.

Proses pembelajaran akan bermula pada Isnin di semua wilayah di seluruh negara itu, kata Shahini.

Menurut kementerian, keputusan untuk menangguhkan proses pembelajaran turut terpakai kepada sekolah swasta.- BERNAMA