Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Isu penurunan penarafan penilaian keselamatan penerbangan Malaysia daripada Kategori 1 kepada Kategori 2 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (US FAA) pada awal November 2019 telah menjadi perbincangan dalam mesyuarat terakhir Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada tahun ini semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah membentangkan cadangan, strategi dan pelan tindakan mengembalikan status penarafan Pengawal Selia Penerbangan kepada Kategori 1.

Malah, EAC telah bersetuju dengan cadangan pelan tindakan yang dibincangkan bagi memastikan langkah pemulihan dicapai sepenuhnya dalam tempoh masa yang ditetapkan iaitu dalam tahun 2021, antara lainnya turut melibatkan aspek pemerkasaan tadbir urus CAAM.

Menurutnya, usaha ini penting supaya dapat memastikan perkembangan kemajuan sektor pelancongan negara tidak terjejas dan pembangunan industri penerbangan Malaysia dapat berkembang secara lebih mampan.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan aspek kesejahteraan rakyat menerusi cadangan sistem pembiayaan kesihatan bagi tujuan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan negara termasuk aspek mengurangkan insiden penyakit tidak berjangkit (NCDs).

“EAC memutuskan cadangan pelaksanaan sistem pembiayaan kesihatan negara perlu diteliti secara terperinci bagi memastikan ianya tidak membeban perbelanjaan kewangan kerajaan dan pada masa yang sama memastikan rakyat mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, mesyuarat EAC turut membincangkan kepentingan analisis data raya (BDA) dalam sektor awam ke arah penggubalan dasar yang lebih komprehensif dan tepat berpacukan data.

Dalam hubungan ini, EAC bersetuju supaya data sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan inisiatif BDA yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Di samping itu, pelaksanaan data terbuka dan perkongsian data antara agensi kerajaan serta pembinaan keupayaan perlu dipertingkatkan tanpa memberi kompromi terhadap aspek keselamatan siber.

Kerajaan akan memberi keutamaan kepada penyediaan peruntukan yang sesuai dan mencukupi untuk melaksanakan inisiaitif BDA dalam sektor awam dan perkara ini akan diteliti di peringkat Jemaah Menteri.

Sejak penubuhannya pada 11 Februari 2019, EAC telah bermesyuarat sebanyak 8 kali dan sebanyak 23 kertas telah dibentangkan oleh pelbagai kementerian serta agensi. – MalaysiaGazette