Gambar fail

DHAKA – Kerajaan Bangladesh telah menutup 166 agensi pengambilan pekerja yang bekerja di Arab Saudi selepas berlakunya penderaan seksual dan tuduhan penyeksaan oleh majikan.

Sejak 1991, kira-kira 300,000 wanita Bangladesh telah bekerja di Arab Saudi sebagai pembantu rumah.

Tetapi kebanyakan mereka kembali semula ke Bangladesh selepas mendakwa mengalami penderaan seksual dan penganiayaan.

Malah, ada syarikat pengambilan pekerja menjual mereka sebagai hamba seks.

Jurucakap kerajaan, Munirus Saleheen mengatakan agensi-agensi yang telah ditutup telah gagal memberi perlindungan kepada pekerja asing dan dalam beberapa kes agensi berkenaan telah menghantar pekerja kembali kepada majikan mereka.

Penutupan agensi-agensi itu susulan perbincangan antara pegawai Bangladesh dan Arab Saudi di Riyadh.

Kedua-dua negara juga memutuskan untuk mengemaskini pangkalan data dalam talian pekerja wanita untuk memastikan keselamatan mereka, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian kebajikan ekspatriat Bangladeshi.

Polis Arab Saudi juga bersetuju untuk tidak menyerahkan mana-mana wanita Bangladesh yang melarikan diri kepada majikan semula.

Kementerian itu juga berkata, Jabatan Sokongan dan Perlindungan Arab Saudi “akan mengambil tindakan segera sekiranya pekerja wanita dalam bahaya”.

Dhaka minggu lalu berkata, ia cuba membawa pulang 32 wanita lain yang membuat panggilan kecemasan dari pusat tahanan Arab Saudi selepas melarikan diri daripada majikan mereka.

Sejumlah 66,680 pencari kerja telah pergi ke Arab Saudi dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding 94,528 dalam dua bulan pertama pada tahun 2017, menurut Biro Tenaga Kerja, Pekerjaan dan Latihan (BMET).

Statistik BMET menunjukkan sejumlah 550,000 pekerja ke Arab Saudi – pasaran tenaga manusia terbesar di Bangladesh – tahun lepas.

Kira-kira 25 hingga 30% daripada mereka masih belum mendapat pekerjaan tetap.

Selain itu, sebanyak 87,000 pekerja didakwa diperlekeh dengan pelbagai cara. – MalaysiaGazette