Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mengumumkan peruntukan sebanyak RM40 juta untuk tahun ini kepada tabung amanah yang dikendalikan Tunku Abdul Rahman Association (TAA) apabila tabung amanah tersebut dijangka diluluskan pada akhir bulan ini.

“Peruntukan RM40 juta ini akan diserahkan sebaik sahaja tabung amanah ini ditubuhkan,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan di sini.

Kerajaan sebelum ini telah menjanjikan peruntukan sekurang-kurangnya RM30 juta setiap tahun untuk tabung amanah yang dicadangkan bermula 2019, untuk manfaat Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) dan para pelajar institusi tersebut.

Selain TAA, pemegang amanah yang dicadangkan akan mempunyai seorang wakil, masing-masing dalam kalangan pelajar KUTAR dan Kementerian Kewangan, masing-masing.

TAA terdiri daripada bekas pelajar KUTAR yang merupakan golongan profesional dan usahawan perniagaan yang berjaya.
Menurutnya, TAA berpegang bahawa KUTAR harus dijalankan sebagai institusi pendidikan secara profesional, secara bebas dan terpisah daripada parti politik dan ahli politik.

Jelasnya, TAA harus diberikan peluang sepenuhnya untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan membuktikan cara mereka dapat memenuhi bidang tugas mereka untuk menggunakan dana bagi manfaat KUTAR dan kebajikan para pelajar
mereka.

Peruntukan RM40 juta ini, kata Guan Eng akan menjawab pembohongan-pembohongan yang dilontarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bahawa peruntukan tersebut tidak sah daripada segi undang-undang.

Namun, katanya, mereka tidak menjelaskan bagaimana memperuntukkan RM40 juta untuk manfaat pelajar KUTAR
tidak sah daripada segi undang-undang, tetapi puluhan bilion ringgit yang dicuri daripada 1MDB pula tidak melanggar undang-undang. – MalaysiaGazette