Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menarik balik kemudahan yang diberikan kepada pelancong warga China dan India sebagai langkah mengawal sejumlah besar warga berkenaan tidak keluar dari negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, laporan Ketua Audit Negara pada 2018 mendedahkan seramai 76,258 orang pelancong asing dari China dan 41,243 daripada India tidak keluar dari Malaysia adalah sangat membimbangkan.

Katanya, menerusi pendedahan itu ia menunjukkan kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan MyIMMs ketika proses di pintu masuk pelancong.

“Angka ini sangat membimbangkan lebih-lebih lagi reputasi warganegara China yang terlibat dalam jenayah yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Penglibatan warganegara China dalam sindiket penjualan kad pengenalan di Pulau Pinang dan terbaru, tangkapan 680 warganegara China di Cyberjaya yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan internet menunjukkan kemudahan visa yang diberikan kerajaan selama ini telah disalah guna.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad berkata, hal itu tidak menghairankan kerana pendaftaran bagi eNTRI hanya dilakukan secara atas talian dan tiada kelulusan diperlukan.

Malah katanya, pelancong China yang menggunakan kemudahan eNTRI boleh masuk ke Malaysia melalui 15 pintu masuk seluruh negara melibatkan sembilan pintu masuk udara dan enam pintu masuk darat.

“Pendedahan audit bahawa pengurusan Jabatan Imigresen dan kawalan dalam di pintu masuk tidak mengemaskini data kemasukan pelancong secara manual dan offline adalah satu dakwaan yang berat.

“Benarkah tiada pihak dalam yang terlibat dalam membawa masuk sejumlah besar pelancong China yang kemudiannya ‘bermastautin’ di Malaysia?” soalnya.

Justeru tambah Ahmad Amzad , kerajaan perlu mengetatkan proses kemasukan pelancong-pelancong dari China dan India atau hentikan buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat mencari kembali ke mana perginya pelancong yang hilang selama ini. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Yang peliknya KDN buat kerja apa ? adakah itu rancangan dari PH supaya boleh mengundi gelap seperti yang mereka kata dulu. disimpan supaya boleh bagi kad pengenalan bumiputera. ?. kalau tidak dibenteras mereka kekal berada diMalaysia apa jadi ,?? Menteri dalam negeri buat apa???

  2. E-entri diperkenalkan utk memudahkan pelancong dr china dan india dizaman bn. Laporan menyebut…tahun 2016, 2017 dan 2018…zaman umno bn memerintah

Comments are closed.