Timbalan Presiden Keadilan merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tengah) bergambar kenangan bersama petugas media selepas Majlis Perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sempena Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan hubungannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah baik dan positif.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, media pasti ‘terkejut’ dengan apa yang berlaku kerana melihat perselisihan faham antara beliau dengan Anwar sebelum ini.

Malah katanya, perkara itu dilihat biasa bagi kedua-dua mereka bersandarkan kepada prinsip kebebasan bersuara yang dipamerkan dalam parti.

“Bila tengok presiden dan timbalan (presiden) berbeza pandangan, media terkejut. Ini demokrasi yang sihat. (Hubungan) presiden, timbalan presiden, cukup positif.

“Saya dengan presiden majlis pimpinan pusat, AMK, wanita, sentiasa baik, dan positif. Cuma mungkin media merasa pelik kerana 60 tahun media laporkan parti yang tidak boleh ada perbincangan dan perbezaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Wanita dan AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin juga mempertahankan bosnya yang sekali lagi terpalit dengan fitnah politik kotor.

Oleh yang demikan, beliau menyeru agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit membuat dakwaan fitnah berkenaan.

“Anwar mengemukakan penjelasan pada awal hari ini dan saya sebagai timbalan presiden parti dan pimpinan tertinggi, kita pertahankan beliau.

“Kita memang parti yang daripada awal menolak politik jijik dan kotor. Politik kotor bukan amalan kita. Kita mahu pihak yang tidak setuju harus berdepan dengan hujah dan wacana sihat bukan terjemurus dengan amalan fitnah dan keji

“Saya kira Anwar mengambil langkah wajar termasuk membuat laporan polis dan kita serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk lakukan siasatan dan sesiapa yang terbabit dalam budaya ini mesti dihukum kerana kita mahu suasana masyarakat yang bersih daripada budaya politik kotor,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu mengulas mengenai tuduhan terbaru salah laku seksual itu dibuat bekas penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther kelmarin. -MalaysiaGazette