Wakil pembahas Negeri Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Wakil Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan berbohong, menipu dan menabur janji palsu.

Katanya, dalam tempoh 18 bulan memerintah, semua menterinya berbohong kepada rakyat.

“Mereka ini umpama pepatah, siakap senohong gelama ikan duri, lama-lama jadi menteri. Semua yang berbohong ini menjadi menteri.

“Dahulu ketika menjadi pembangkang, mereka melalak di sana, melalak di sini.. kemuka formula itu, formula ini.. tipu rakyat kononnya boleh buat itu, boleh buat ini.

“Tapi bila dah jadi kerajaan, kau bagi alasan kau letih, kau bagi alasan kau sejuk, kena minum kopi untuk tambah tenaga,” katanya pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

PAU 2019 berlangsung selama empat hari dari 4 hingga 7 Disember ini.

Menurut Syahbuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, pemimpin kerajaan ini serba tidak kena pada mereka dan buktinya jika bertugas di luar Dewan Rakyat, mereka pengsan kerana pas.

“Ketika di luar dewan (Dewan Rakyat), (bertugas) di tengah panas kau pengsan. Bertugas dalam dewan kau kata sejuk. Tempat mana sebenarnya yang sesuai untuk kau (bekerja)?,” soalnya.

Justeru, kata beliau, jika semua alahan, adalah lebih baik mereka ini kosongkan kerusi Parlimen dan umumkan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Biar kita lawan secara anak jantan,” ucapnya yang mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan.

Dalam perbahasan itu, beliau turut menyentuh isu hutang negara, yang mana dalam kiraanya, selama 577 hari PH memerintah hampir RM36 bilion aset strategik negara telah dijual.

Jumlah itu, katanya, bersamaan dengan RM62 juta sehari, RM2.6 juta setiap satu jam dan RM43,433 setiap minit aset dijual.

“Jika tuan-tuan tengok jam di tangan, cuba bayangkan ketika ini kerajaan PH sedang berunding untuk menjual aset mana lagi.

“Ini baru 577 hari memerintah. Bayangkan kita nak tunggu tiga tahun lagi,” katanya yang menyifatkan PH sebagai licik, pintar, auta dan pandai menipu. – MalaysiaGazette