Ibrahim menunjukkan salinan dokumen berhubung salahlaku COO MBI yang diterimanya dalam peti surat kediaman beliau.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali mendakwa ada menerima satu salinan dokumen berhubung salah laku dalam pengurusan Menteri Besar Selangor (MBI) melibatkan seorang Ahli Lembaga Pengarah (ALP).

Bercakap dalam satu kenyataan kepada media di sini semalam, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Perkasa) itu meminta Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi penjelasan berhubung dakwaan yang terkandung dalam dokumen berkenaan.

Katanya, beliau menerima salinan dokumen yang lengkap bersampul itu dalam peti surat rumahnya di Taman Melawati baru-baru ini, dan menganggap sebagai sesuatu yang serius.

“Dalam dokumen itu turut dilampirkan salinan fotostat surat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan MBI menjalankan siasatan terhadap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat MBI (COO).

“Apabila saya meneliti dokumen itu, saya dapati ia suatu dakwaan yang amat serius kerana mengaitkan salah laku ahli lembaga pengarah dengan lebih RM50 juta.

“Difahamkan kerugian ini melibatkan rundingan hartanah dengan sebuah syarikat, dan syarikat ini juga dikatakan turut membiayai majlis yang dihadiri seorang menteri kanan, sebelum keputusan rundingan dibuat,” katanya.

Mengenai kandungan surat SPRM, Ibrahim berkata, surat bertarikh 15 Julai 2019 itu memaklumkan laporan penyiasatan berhubung perjanjian antara syarikat Kemudi Ehsan Sdn Bhd dan MBI membabitkan tanah lot di Mukim Ijok, Kuala Selangor.

Katanya, SPRM menerusi surat itu memaklumkan hasil siasatannya mendapati tanah lot berkenaan dijual bawah harga pasaran dan kecuaian COO itu menyebabkan berlaku kerugian sebanyak RM50 juta.

“SPRM juga dalam surat itu memaklumkan kecuaian berkenaan merupakan perkara serius bagi seorang COO MBI yang juga Ahli Lembaga Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

“SPRM ada memaklumkan meminta supaya MBI segera mengkaji semula perjanjian yang dimeterai dengan membuat siasatan dalaman dan tindakan perlu diambil sekiranya ada pelanggaran peraturan memandangkan ia melibatkan wang rakyat.

“SPRM juga meminta supaya laporan siasatan dalam MBI dipanjangkan kepada pihaknya,” katanya.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) meminta penjelasan sama ada MBI telah menjalankan siasatan dalaman atau tidak sebagaimana disarankan SPRM.

Katanya, beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan terhadap yang dikatakan terlibat itu, tetapi mendesak SPRM menyiasat COO secara telus kerana isu itu sangat serius.

“Saya akan menyerahkan dokumen yang saya terima ini kepada SPRM dalam minggu ini untuk meminta pihak berkuasa ini melakukan siasatan secara telus,” katanya. – MalaysiaGazette