Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dinasihatkan agar tidak berbelah bahagi dengan kesetiaan terhadap parti kerana Putra dibina selepas “kapal-kapal” parti yang ada kini sudah pecah.

Pesanan itu diberikan oleh Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang mahu ahli-ahli Putra sentiasa memasang tekad untuk terus istiqomah dalam perjuangan kepada bangsa dan agama.

Katanya, ahli Putra tidak perlu bimbang kerana parti itu tidak dikemudi dengan hanya seorang nakhoda seperti mana yang diamalkan oleh parti-parti lain.

“Parti lain guna kaedah taat kepada pemimpin. Putra berbeza nakhodanya kepimpinan tertinggi.

“Sebab kalau presiden seorang, disinilah bermulanya diktator, mulanya jadi pemujaan pemimpin, bila apa-apa berlaku pada nakhoda kapal mula pecah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan Majlis Taklimat Tertutup Ketua-Ketua Penaja dan Sayap-Sayap Bahagian Seluruh Negara, di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Putra mempunyai masa depan yang cerah kerana parti-parti lain sudah berpecah-pecah

“Ada parti yang lama sudah pecah, tapi ia berlayar tak banyak dapat banyak ikan.

“Parti yang hendak memukat ikan tapi terhad, dia banyak berlabuh, ada pulak parti yang kapalnya ditarik,” ujarnya yang merujuk perkara itu kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, Ibrahim optimis Putra akan dapat mengadakan persidangannya yang pertama pada November tahun depan selepas kesemua bahagian mempunyai ahli yang mencukupi sebagaimana syarat yang ditetapkan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Katanya, sehingga 30 Disember tahun ini beliau akan dapat menghantar sebanyak 120 minit mesyuarat penubuhan bahagian-bahagian.

Tambahnya, beliau meletakkan sasaran penghujung April tahun depan Putra akan memperoleh sebanyak 150 bahagian dengan mesyuarat rasmi dijangka bermula pada Jun hingga Ogos. – MalaysiaGazette