Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Gagasan Muafakat Nasional masih belum mempunyai kata putus berhubung cadangan menginstitusikannya, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, jika mahu menginstitusikan Muafakat Nasional, pelbagai perkara harus dikaji selain perlu mendapatkan maklum balas daripada kedua-dua pihak iaitu UMNO dan PAS.

“Kami perlu menyatakan dengan jelas tentang cadangan itu dan untuk mendapatkan respons yang baik daripada PAS, di samping parti komponen BN (Barisan Nasional).

“Belum ada keputusan muktamad lagi, (selepas ini) apa yang perlu kami lakukan adalah untuk meneliti isu (yang berkaitan) sekiranya ada dan menyelesaikan jika ada masalah (yang berbangkit), kemudian barulah kami akan putuskan sama ada untuk menjadikannya formal atau tidak,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata ke arah itu, satu sekretariat tetap akan diwujudkan di PWTC melibatkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

“(Dengan penubuhan sekretariat ini juga) Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi Pengerusi Penyelaras dan Naib Presiden UMNO dan PAS akan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, susulan kepada penubuhan sekretariat tersebut, UMNO-PAS selepas ini akan mengadakan Kongres Muafakat Nasional peringkat Kebangsaan.

Semalam, dua pemimpin parti komponen BN dilaporkan mempunyai pandangan berbeza berhubung cadangan menginstitusikan Muafakat Nasional, iaitu kerjasama UMNO dan PAS, yang masih tiada keputusan rasmi.

Bagi Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, beliau menyokong semangat Muafakat Nasional antara UMNO-PAS itu tetapi lebih selesa untuk kerjasama politik antara parti pembangkang yang dilakukan sekarang tanpa menginstitusikannya.

Lain pula pandangan Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran yang membayangkan MIC sedia menjadi satu daripada parti yang berada di bawah Muafakat Nasional sekiranya diinstitusikan seperti BN yang dianggotai oleh pelbagai parti.

Piagam Muafakat Nasional termeterai apabila kedua-dua presiden parti iaitu Ahmad Zahid daripada UMNO dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi PAS menandatangani piagam berkenaan pada 14 Sept lepas dengan menggariskan lima kandungan utama. – MalaysiaGazette