KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd. (FGV) boleh mempertimbangkan cadangan untuk menjadi pengurus perladangan di luar negara bagi meningkatkan pendapatan di samping dapat membuka jalan untuk meneroka pasaran-pasaran baharu.

Penganalisis Pasaran, Nazarry Rosli berkata, modus operadi sedemikian telah pun dilakukan oleh Petronas di luar negara.

“Pengurusan baharu FGV mempunyai kepakaran tinggi dalam sektor perladangan.

“Kita sangat berharap mereka dapat membantu memulihkan syarikat tersebut, menjana keuntungan lebih besar dengan pelbagai aktiviti supaya dapat meningkatkan margin keuntungan.

“Mereka juga boleh mencari pasaran baharu selain bergantung dengan pasaran sedia ada seperti India dan China.

“Ini boleh dilakukan dengan menawarkan diri untuk menguruskan ladang-ladang sawit baharu di luar negara contohnya di Afrika yang mana cuacanya hampir sama dengan Malaysia.

“Petronas juga melakukan sedemikian dan ia menguntungkan mereka. Di samping dapat menjana pendapatan, FGV juga mungkin boleh meneroka pasaran di negara berkenaan,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan BizMalaysia terbitan RTM di sini.

Tambah Nazarry, selepas ditadbir oleh pengurusan baharu, syarikat peladangan terbesar negara itu mula mencatatkan penurunan kerugian dan dijangka merekodkan keuntungan pada suku keempat tahun ini.

Jelasnya, sekiranya syarikat tersebut kembali pulih, harga sahamnya juga akan meningkat.

Saham FGV mengalami peningkatan hampir 100 peratus selepas jatuh di bawah harga RM1 dalam tempoh tiga bulan.

Harga Tawaran Awam Permulaan (IPO) syarikat tersebut ketika mula disenaraikan di Bursa Malaysia pad 2012 adalah RM4.55 seunit.

“Terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga saham FGV ketika ini, yang pertamanya adalah peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) pada paras sekitar RM2,500 setan metrik.

“Selain FGV, syarikat-syarikat peladangan juga menunjukkan peningkatan dalam saham masing-masing.

“Faktor kedua adalah tadbir urus korporat yang lebih baik pada masa kini kerana kerakaan memilih golongan yang lebih profesional dan ada kepakaran dalam bidang peladangan untuk menguruskan FGV.

“Ini menyebabkan harga sahamnya naik kerana jika hanya bersandarkan kepada prestasi MSM sahaja, syarikat-syarikat peladangan lain tidak mengalami kerugian terlalu teruk seperti FGV ketika harga komoditi berkenaan jatuh,” katanya sambil menambah walaupun masih mengalami kerugian namun jumlahnya semakin mengecil.

Menurut Nazarry, para penganalisis yakin harga saham FGV akan kembali ke paras RM1.50 sesaham dalam masa terdekat.

Saham syarikat peladangan sawit itu ditutup pada paras RM1.32 sesaham Jumaat lalu.- MalaysiaGazette