Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kabinet bersetuju memansuhkan kawalan fi perundingan di bawah Akta 586 melibatkan semua fasiliti berdaftar (Jadual Ketujuh) dan fasiliti berlesen (Jadual Ketiga Belas).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pemansuhan kawalan fi perundingan, pengamal perubatan dan pengamal pergigian swasta dapat menentukan kadar fi perundingan yang dikenakan ke atas pesakit.

Manakala, pesakit pula boleh menilai dan membuat keputusan awal jika fi perundingan yang ditawar berpatutan.

“Kabinet sudah menilai perkara ini secara holistik dan komprehensif serta mengambil kira saranan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

“Kabinet juga prihatin terhadap keperluan bagi pindaan Jadual Ketujuh, yang belum pernah dipinda sejak ia mula dikuatkuasa pada 2006.

“Pemansuhan kawalan fi perundingan ini membabitkan semua fasiliti berdaftar (Jadual Ketujuh) dan fasiliti berlesen (Jadual Ketiga Belas),” katanya menerusi kenyataan.

Cadangan pindaan Jadual Ketujuh, Peraturan-Peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta Atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 di bawah Akta 586 (Jadual Ketujuh) dibincangkan semula dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 November 2019 dan semalam.

Jelas Datuk Seri Dr. Dzulkefly, pemansuhan kawalan fi perundingan merupakan mekanisma untuk mendorong pengamal perubatan dan pergigian swasta meningkatkan kemahiran, profesionalisme dan kualiti penyampaian perkhidmatan masing-masing.

Susulan itu, Kementerian bakal memperincikan beberapa peraturan baharu serta memperkukuh peraturan sedia ada untuk memberi penekanan terhadap penyampaian perkhidmatan yang lebih telus dan mesra pesakit. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.