Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan segenap ahli dan kepimpinan parti itu supaya memahami sejarah reformasi yang didukung sejak penubuhannya 20 tahun lalu.

Menurutnya, semua ahli sama ada di peringkat akar umbi, mahupun kepimpinan tertinggi perlu ada displin dan hormat kepada parti.

“Boleh ada aliran tapi tak boleh ada puak-puak yang memecah belahkan parti.

“Harus bersikap sederhana dan saya tahu pemuda sangat kecewa dengan keputusan saya tapi saya lihat kerangka besar keluarga ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar hari ini.

Anwar dipercayai merujuk kepada insiden hura-hura yang berlaku di Kongres AMK, semalam.

Ia ekoran tindakan pengerusi tetap AMK yang dipecat, Muhammad Mizan Adli Mohd Noor yang bertegas mahu mempengerusikan kongres berkenaan.

Mengakhiri ucapan dasarnya, Anwar menasihatkan agar ahli-ahli PKR supaya menghayati slogan lawan tetap lawan yang didukungnya selama ini.

Ujarnya, slogan itu tidak termaktub kepada persengketaan antara rakan-rakan dalam parti.

“Kita ini satu pasukan…lawan bukan dengan kawan…parti ini parti kita, parti derita..diangkat dari kesusahan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette