Dewan Rakyat akan bersidang 13 Julai ini dengan usul dikemukakan Perdana Menteri untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker. -Gambar Hiasan.

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri (PM) akhirnya telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini seperti yang dijanjikan oleh pihak kerajaan.

Secara prinsipnya ianya dilihat sebagai langkah permulaan dalam mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun menerusi pindaan  Perlembagaan. Mengikut cadangan, seseorang ahli Dewan Rakyat
tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika pernah memegang jawatan itu bagi tempoh dua penggal Parlimen.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengumumkan kerajaan merancang mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal. Ia bertujuan untuk mengekang kuasa perdana menteri dan pemegang jawatan lain, selain menjadi antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Jadi pembentangan RUU ini jelas satu lagi usaha PH untuk menunaikan janji manifesto di samping langkah berani dalam memberi makna besar kepada
sistem politik dan demokrasi era pentadbiran baru.

Sementara cadangan ini melalui segala proses yang diperlukan termasuk langkah mendapatkan maklum balas dari semua pemegang taruh sebelum ianya dibahas dan diluluskan, seperti biasa cadangan besar ini juga wajar dinilai dalam dua sisi yang
berbeza iaitu, kelebihan dan kekurangan jika dilaksanakan kelak. Semua pihak mengakui ini adalah satu perubahan yang cukup besar kerana selama ini pemegang jawatan utama seperti ini boleh memegang jawatan selama mana yang boleh selagi
mana mendapat sokongan, kepercayaan dan mandat dari ahli yang lain.

Ringkasnya tiada had dan tempoh masa untuk memegang sesuatu jawatan. Jadi ini telah membuka ruang dan peluang kepada semua pihak untuk menilai kewajaran dan
keberkesanan seseorang memegang jawatan terlalu lama.

Tidak dapat dinafikan apabila seseorang itu dapat memegang jawatan untuk tempoh yang lebih lama dapat memberi sumbangan yang lebih bermakna kepada kemajuan masyarakat dan pembangunan negara. Hal ini kerana ianya membolehkan individu terbabit dapat merangka, merancang dan melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif berbentuk jangka pendek dan juga panjang.

Ini penting kerana suatu dasar atau inisiatif baru lazimnya akan memakan masa yang panjang untuk dilihat hasil dan keberkesanannya, dan sebelum dituai hasilnya, pelaksanaan perlu efisien dan sistematik. Untuk itu individu yang sama perlu memegang kuasa bagi memudahkan proses pemantauan dan penilaian terhadap dasar dan inisiatif yang sedang dilaksanakan seperti dirancang.

Malah apabila lebih lama memegang kuasa, ianya akan memberi kelebihan dari segi pengukuhan kuasa parti dan kerajaan. Hal ini demikian kerana untuk menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan efisien, Perdana Menteri perlu memiliki sokongan,
dokongan serta kuasa yang kuat dan kukuh. Ini sekali gus akan mengukuhkan sistem pentadbiran kerajaan. Hakikatnya kedudukan seorang Perdana Menteri perlu stabil, kuat dan kukuh supaya dapat memerintah dengan baik serta memeta hala
tuju masa depan negara yang lebih cemerlang.

Dalam pada itu kita juga akan rugi jika pemimpin yang hebat terpaksa berhenti ditengah jalan kerana habis tempoh had memegang jawatan. Mudahnya kita akan kehilangan pemimpin yang benar-benar berkelayakan apabila mereka tidak lagi
dapat meneruskan perkhidmatan selepas tempoh ditetapkan. Rugi jika pemimpin seperti ini perlu dihentikan khidmat mereka tatkala mereka masih mampu mentadbir
dengan baik.

Kita juga khuatir jika terlalu kerap menukar tampuk pemerintahan ianya boleh menjejaskan segala perancangan yang telah dibuat. Harus diakui kekerapan menukar nakhoda boleh merencatkan segala inisiatif yang telah dimulakan, hal ini
kerana setiap pemimpin akan tampil dengan idea dan inisiatif baru mereka sebagai identiti zaman pemerintahan mereka, ini sekaligus akan menyebabkan program dan projek yang dirancang oleh pemimpin terdahulu menjadi projek gajah putih dan
membazir wang rakyat.

Namun tidak dapat dinafikan juga sebaliknya bila terlalu lama memegang kuasa ianya boleh mengundang pelbagai natijah dan kelemahan yang ketara. Apa yang paling nyata dan terlalu ditakuti ialah dikhuatiri tempoh yang terlalu lama boleh
menyebabkan seseorang pemimpin itu bersikap seperti diktator. Hal ini sering menjadi masalah besar dalam dunia politik kerana kuasa dan pengaruh yang ada boleh menyebabkan seseorang itu leka, lalai dan hilang fokus.

Tindakan memegang jawatan terlalu lama juga boleh menghalang proses perubahan dan transformasi bersandarkan kepada idea, kreativiti dan inovasi yang baru. Ini biasa berlaku kerana pemimpin lebih suka dengan cara pentadbirannya yang sedia
ada dan amat sukar untuk menerima pandangan dan cadangan orang lain. Ironinya idea baru atau perubahan yang dicadangkan akan dilihat sebagai ancaman kepada kedudukannya. Ini akan merugikan rakyat dan juga negara.

Malah proses melahirkan pemimpin pelapis juga dilihat akan terbantut jika seseorang itu memegang kuasa terlalu lama. Ini kerana muka baru, pemimpin muda dan pelapis tidak akan ada peluang untuk tampil ke hadapan atau menggalas
tanggungjawab. Malah pelapis akan sentiasa dilihat sebagai ancaman dan ingin mengambil alih kuasa daripadanya. Ini sekali lagi akan merugikan negara kerana kita akan kehilangan bakat baru yang boleh memimpin negara untuk masa depan.

Ironinya, tatkala kita mahu hadkan kepada dua penggal, berlaku pula sebaliknya di
negara jiran kita Indonesia. Presiden Joko Widodo atau Jokowi dilaporkan berkata
tidak akan menyokong cadangan untuk meningkatkan had tempoh perkhidmatan

presiden dari dua penggal kepada tiga penggal. Prinsip yang dipegang oleh Jokowi ini juga wajar dijadikan rujukan sebelum kita memuktamadkan RUU yang dibentangkan.

Hakikatnya bagi penulis tempoh had masa seseorang itu memegang kuasa itu bukanlah satu isu besar dan ianya terlalu subjektif. Apa yang penting ialah setiap individu yang dilantik, diberi tanggungjawab dan kuasa serta amanah perlu sentiasa
sedar dan menginsafi bahawa kuasa dan kedudukan itu hanyalah bersifat sementara dan datang dengan tanggungjawab dan integriti yang tinggi. Jika prinsip ini boleh dihayati dan difahami dengan jujur dan ikhlas, tidak akan berlaku salah guna kuasa,
penyelewengan, kronisme, nepotisme serta apa jua sifat berbentuk diktator. Jangan lupa dua penggal atau 10 tahun juga boleh digunakan untuk kepentingan peribadi jika pemimpin itu gagal hayati prinsip yang sewajarnya. Jadi tempoh masa
memegang jawatan adalah terlalu subjektif dan wajar dinilai dalam kedua-dua aspek iaitu, sisi positif dan juga sisi negatif. Apa yang penting ialah pilih, lantik dan letaklah orang yang betul di tempat yang betul.

Penulis ialah Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM.