Muhammad Yusuff Rawther. foto FAREEZ FADZIL, 04 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Muhammad Yusoff Rawther hadir di Bukit Aman tengahari ini untuk memberi keterangan kepada polis berhubung laporan dan akuan bersumpah yang diserahkan kepada polis semalam yang mendakwa beliau telah dicabul oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.

Bekas Pegawai Penyelidik Anwar itu tiba di pondok keselamatan pintu masuk utama Bukit Aman pada pukul 12.44 tengahari.

Muhammed Yusoff yang baju putih lengan panjang serta berseluar jeans biru ditemani peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau yang menaiki kereta Mercedes hitam sebelum memasuki pondok keselamatan utama untuk mendapatkan pas lawatan tidak menjawap sapaan pemberita dan jurukamera yang membuat liputan.

Semalam Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Rawther akan dipanggil hari ini untuk memberi keterangan susulan laporan serta akuan bersumpah (SD) yang mendakwa dia dicabul oleh bekas majikannya itu.

“Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman akan mengambil keterangan Muhammad Yusoff pada 1 tengah hari esok…peguamnya sudah dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa beliau sibuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil  Port Dickson yang ditandinginya ketika itu. – MalaysiaGazette