Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir perbicaraan kes 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Seorang wakil rakyat UMNO memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau telah diminta menandatangani satu akuan bersumpah berkaitan penggunaan dana Yayasan Akalbudi untuk pembayaran bil kad kredit milik bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dua tahun lepas.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi, 55, berkata beliau diminta berbuat demikian oleh seorang peguam bernama Murali (Muralidharan) dalam satu pertemuan di sebuah restoran di Bangsar pada 20 April 2017.

Saksi itu yang merupakan seorang daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BOT) yayasan tersebut berkata, beliau menandatangani dokumen itu secara sukarela selepas Murali menjelaskan bahawa kandungan akuan bersumpah tersebut adalah mengenai pembayaran bil kad kredit Ahmad Zahid yang telah dibayar balik kepada yayasan.

Saksi pendakwaan ke-15 itu turut membacakan tiga perenggan pernyataan dalam akuan bersumpah berbahasa Inggeris tersebut yang menyatakan bahawa Ahmad Zahid telah memberi beberapa bil kepada beliau untuk pembayaran kepada bank sekitar 2014 atau 2015.

“Saya, tanpa sebarang niat lain, berpendapat saya boleh menggunakan wang dalam yayasan ini untuk melunaskan bil Datuk Seri kerana sebahagian besar daripada dana yayasan itu adalah sumbangan peribadi Datuk Seri.

“Saya kini sedar bahawa pendapat saya itu tidak betul dan saya telah meminta Datuk Seri supaya mengembalikan wang itu (berjumlah RM805,768.16) yang digunakan untuk menyelesaikan bil, yang mana wang itu Datuk Seri telah bayar balik kepada yayasan,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya (TPR) Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk itu yang dilantik sebagai ahli BOT yayasan pada 2012, memberi keterangan pada hari ke-10 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Bagaimanapun ketika ditanya Raja Rozela mengenai bil itu, Khairuddin berkata beliau tidak menerima bil kad kredit tersebut daripada Ahmad Zahid untuk dibayar kepada bank seperti yang tertera di dalam akuan bersumpah itu.

Raja Rozela: Berdasarkan akuan bersumpah itu adakah YB (Yang Berhormat) guna apa-apa cek atau dana daripada yayasan untuk bayar kad kredit bagi pihak Datuk Seri (Ahmad Zahid).

Khairuddin: Tidak ada.

Raja Rozela: Berdasarkan akuan bersumpah, adakah YB pernah bantu Datuk Seri untuk pulangkan semula duit yayasan yang telah digunakan.

Khairuddin: Tidak.

Raja Rozela: Berdasarkan jawapan YB nyatakan tentang tiga perenggan dalam akuan bersumpah ini, adakah kandungan akuan bersumpah ini benar

Khairuddin: Tidak benar.

Ketika disoal balas peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa sekiranya akuan bersumpah itu tidak benar, maka tidak ada sebab atau alasan langsung untuk Ahmad Zahid memberi bil tersebut untuk dijelaskan menggunakan duit yayasan.

Khairuddin juga mengakui bahawa beliau tidak merujuk kepada peguam lain untuk mendapatkan pendapat kedua sebelum menandatangani akuan bersumpah tersebut.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt sama ada beliau mengetahui jumlah sumbangan yang diberikan oleh yayasan berkenaan, saksi itu menjawab beliau tidak pasti namun ia membabitkan jumlah yang banyak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bersambung esok.- BERNAMA