Laman EZpustaka adalah laman web rasmi pembangunan perisian dan penawaran perisian kod sumber terbuka oleh Perpustakaan Tuanku Bainun.

KUALA LUMPUR – Istilah kutubkhanah mungkin janggal dalam kalangan generasi muda. Mereka lebih terdedah dengan istilah perpustakaan atau library – bangunan atau tempat menyimpan buku bagi bacaan orang ramai.

Biarpun istilah berubah, namun peredaran zaman tidak menenggelamkan fungsi perpustakaan.

“Seiring zaman perpustakaan turut melalui pelbagai evolusi,” kata Ketua Pustakawan Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Siti Sumaizan Ramli

Pengurusan koleksi digital adalah cabang pengurusan terkini oleh perpustakaan khususnya perpustakaan akademik.

Ianya bermula semudah mengarkibkan dokumen elektronik seperti buku elektronik dan seterusnya berkembang untuk menyokong format-format dokumen yang bertepatan dengan perkhidmatan sesebuah perpustakaan itu.

“Umpama pusat sehenti bagi semua bentuk ilmu dan pengetahuan, tadbir urus dan fungsi perpustakaan perlu dipertingkatkan agar ianya kekal relevan.

“Di PTB kami mengutamakan inovasi dalaman berbanding perkhidmatan yang tersedia oleh vendor luar bukan hanya untuk penjimatan tetapi membudayakan inovasi yang boleh digunasama di peringkat kebangsaan sekiranya wujud keserasian dari segi fungsi,” katanya.

Kakitangan Perpustakaan menggunakan sistem sWADAH untuk memasukkan bahan digital bagi akses para pengguna Perpustakaan di UPSI.

Menurut Siti Sumaizan, sejak 2009, PTB tidak lagi menggunakan perisian repositori institusi (IR) yang tersedia wujud seperti EPrints dan DSpace untuk menguruskan keratan akhbar berdasarkan topik terpilih.

Pihaknya, kata beliau, turut menghasilkan sendiri platform iaitu iSYS atau Indexing System yang berupaya sehingga kini mengendalikan lebih 88000 artikel yang sedia untuk dirujuk.

Ianya dibangunkan menggunakan teknologi sumber terbuka, sekaligus membuka lembaran baru di dalam pembangunan perisian di UPSI dengan seterusnya penghasilan banyak lagi perisian dan aplikasi untuk manfaat warga UPSI.

“Melalui aplikasi tersebut PTB berjaya merekodkan penjimatan sehingga RM400,000 bagi pembangunan permulaan dan RM200,000 setahun bagi penyelenggaraan perisian jika menggunakan konsultasi syarikat luar.

Tambah beliau, selain aplikasi tersebut, PTB turut menghasilkan satu laman sesawang iaitu Portal EZpustaka UPSI yang berperanan sebagai tempat sehenti bagi maklumat berkaitan pembangunan perisian dan projek sumber terbuka yang dihasilkan oleh pihaknya dan membangunkan projek sWADAH.

“Portal tersebut dapat diakses di https://ezpustaka.upsi.edu.my dan ia bertujuan mempromosikan produk-produk yang dihasilkan PTB di samping mewujudkan gerakan pembangunan perisian yang menyokong pengajaran dan pembelajaran di setiap kategori perpustakaan di Malaysia.

“Melaluinya, komuniti perpustakaan di Malaysia dapat bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea berkaitan projek-projek pembangunan perisian yang dapat mereka fikirkan untuk manfaat bersama,” katanya.

Ketua Pustakawan bersama kumpulan pembangun yang terlibat dengan beberapa aplikasi dan perisian di PTB.

Sementara itu, Projek sWADAH katanya, bertujuan menyokong kepelbagaian piawaian antarabangsa seperti menyokong OAI-PMH versi 2.0 dan metadata bagi pengindeks atas talian seperti Google Scholar.

“Dengan sWADAH, kami berharap institusi yang belum mempunyai kepakaran dan pembangunan IR, dapat menggunakan sWADAH kerana ianya dibangunkan dengan satu set minda iaitu mudah digunakan,” jelas beliau.

Sementara itu, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan, Khairul Asyrani Sulaiman berkata, PTB adalah wakil tetap dalam komuniti Pustakawan Sistem Maklumat Malaysia (MySyL) yang juga merupakan komuniti Special Interest Group (SIG) yang paling aktif di peringkat perpustakaan akademik di Malaysia.

“Melalui komuniti MySyL, PTB mengorak langkah dengan mempromosikan beberapa produk yang diturut dijadikan kod sumber terbuka agar dapat dimanfaatkan dan diperkembangkan kepada ahli komuniti lain.

“PTB turut berkongsi kod perisian dengan ahli lain agar dapat membina suatu jaringan pembangunan yang berteraskan pembangunan buatan Malaysia kerana kita juga mampu. Kita tidak boleh hanya menjadi pengguna kepada produk luar, kita perlu juga membangunkan sesuatu yang boleh dibanggakan,” katanya.

PTB pernah merangkul beberapa anugerah inovasi bagi produk-produk yang dihasilkan iaitu pingat emas di International Invention & Innovation Competition (ITEX) 2015 dan International Conference & Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA) 2015.

Inovasi-inovasi ini turut diterapkan dalam budaya kerja staf PTB agar dapat bergerak maju dan berdaya saing bersama perpustakaan akademik lain di rantau Asia dan dunia. – MalaysiaGazette