Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Hamzah kekal sebagai Ahli Parlimen Jasin selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen pilihan raya bagi kawasan tersebut yang difailkan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Keputusan dibuat lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimum Tuan Mat hari ini.

Tengku Maimun memerintahkan Khairuddin membayar RM30,000 sebagai kos kepada Ahmad selaku responden pertama dan sejumlah RM50,000 kepada pegawai pengurus pilihan raya kerusi Parlimen Jasin Zamrud Yahya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Semasa ditemui pemberita selepas prosiding itu, Khairuddin berkata beliau menghormati keputusan mahkamah dan mengucapkan terima kasih kepada peguamnya.

“Pada saya kalah atau menang tidak penting, apa yang penting ialah untuk saya terus beri perkhidmatan terbaik kepada pengundi di kawasan Parlimen Jasin,” katanya.

Ahmad, yang memakai seluar hitam dan kemeja putih turut hadir di mahkamah hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya pada 12 Jun, tahun ini menolak petisyen Khairuddin untuk mengisytiharkan keputusan bagi kawasan Parlimen Jasin pada PRU14 tahun lepas sebagai batal dan tidak sah selepas mendapati Khairuddin gagal membuktikan elemen ketidakpatuhan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah menjejaskan keputusan pilihan raya itu.

Pada PRU14, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan majoriti 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Ahmad memperoleh 26,560 undi manakala Khairuddin mendapat 26,341 undi sementara calon PAS Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin yang memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lepas memohon perintah supaya keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu diadakan.

Khairuddin diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun dan peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Zamrud dan SPR.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.