Kilang Benns Chocolate di Kawasan Perindustrian Cheras Jaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Benns Ethicoa Chocolate Factory Sdn Bhd (Benns Chocolate), syarikat pengeluar coklat premium bakal meneroka pasaran baharu tahun depan selepas berjaya mengukuhkan jenamanya di Singapura.

Antara pasaran menjadi intaiannya ialah Asia Tenggara khususnya Jepun dan Korea Selatan.

Antara produk yang dihasilkan Benns Chocolate di Cheras, Jaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 DISEMBER 2019.

Malah, pasaran Eropah dan Amerika Syarikat juga menjadi tumpuannya meskipun dua negara itu terkenal dengan pengeluaran coklat-coklat premium.

Dalam waktu yang sama, Benns Chocolate mahu mengukuhkan promosi coklat gelap di Malaysia.

“Kita sudah pun berada di Singapura dan secara perlahan-lahan mengintai pasaran Amerika Syarikat dan Eropah. Kami berharap semuanya berjalan lancar pada tahun depan,” kata Jerome Penafort, Pengarah Benns Chocolate dalam satu pertemuan dengan MalaysiaGazette.

Pengerah Benns Chocolate, Wilfred Ng (kanan) dan Jerome Penafort bergambar di Kilang Benns Chocolate Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 DISEMBER 2019.

Benns Chocolate secara rasmi akan membuka kilangnya pada hari ini.

Pengarah Eksekutifya, Wilfred Ng berkata, penerokaan pasaran baharu menjadi sasaran syarikatnya selepas ia membuat pelaburan baharu dengan menaik taraf kilangnya di Kawasan Perindustrian Cheras Jaya, di sini.

Menurutnya, pelaburan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan syarikat itu menawarkan lebih banyak produk pada tahun-tahun mendatang.

Antara produk yang dihasilkan di Kafe Benns Chocolate di Cheras Jaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 DISEMBER 2019.

Buat masa ini, kilang berkenaan menghasilkan 100 kilogram coklat sehari walaupun ia berkapasiti untuk 500 kilogram sehari.

Kilang ini turut terlibat dalam pengeluaran coklat untuk pembekal kepada pengeluaran produk tulen (OEM).

Wilfred berkata, Benns Chocolate meneroka secara serius industri coklat gelap premium sejak tahun 2017 dengan skala kecil melalui makmal penyelidikan dan pembangunan.

Kek coklat yang dihasilkan oleh chef di Kafe Benns Chocolate.

Ditanya mengapa produk coklat gelap menjadi pilihannya, beliau berkata, Benns Chocolate mahu mempromosikan kebaikan dan kelebihan pemakanan coklat ini dari aspek gaya hidup dan kesihatan.

Katanya, di Malaysia coklat manisan lebih menjadi pilihan ramai tetapi coklat gelap sebenarnya lebih berkhasiat.

“Coklat jenama Benns bukan seperti coklat biasa di pasaran tetapi coklat premium yang menawarkan kandungan cacao sebanyak 72%. Ini kerana, kami mahu mendidik rakyat Malaysia menikmati rasa coklat yang sebenar,” katanya.

Pekerja-pekerja membungkus coklat di Kilang Benns Chocolate Cheras, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 DISEMBER 2019.

Kilang tersebut, selain menghasilkan coklat premium turut mengeluarkan pelbagai produk berasaskan cacao seperti serbuk ‘teh’ cacao dan cocoa butter untuk pengeluar kosmetik.

Menariknya, di kilang ini, orang ramai boleh datang untuk menyaksikan sendiri pembuatan coklat. Mereka juga boleh berpeluang meninjau muzium kecil yang mempamerkan sejarah industri coklat dan alat-alat tradisional pembuatan coklat.

Wilfred berkata, di kilang ini juga Benns Chocolate mewujudkan bean-to-bar cafe yang menawarkan pelbagai jenis kek, manisan, aiskrim dan minuman coklat premium kepada orang ramai.

Semua manisan ini dihasilkan oleh chef-chef Benns Chocolate.

“Ia merupakan satu inisiatif Benns Chocolate untuk memperkenalkan pemakanan coklat yang berkualiti sebagai gaya hidup kerana coklat baik untuk kesihatan, bukannya satu ketakutan,” ujarnya. – MalaysiaGazette