Kamaruzzaman Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Johor Corporation (JCorp) hari ini mengumumkan persaraan Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkuatkuasa 31 Disember ini.

Naib Presiden JCorp (Bahagian Tanggungjawab Korporat), Bukhari Abdul Rahman akan memangku jawatan tersebut sehingga notis seterusnya dikeluarkan.

Menurut satu kenyataan, Kamaruzzaman mempunyai telah berkhidmat dengan JCorp hampir tiga dekad dengan pelbagai peranan dalam bidang kewangan, dan menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi pada 2006 yang melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebelum mengambil tanggungjawab CEO pada Disember 2010.

“Seluruh lembaga pengarah, pengurusan dan kakitangan JCorp ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Kamaruzzaman di atas sumbangan yang tidak ternilai semasa tempoh perkhidmatan dengan syarikat,” kata Menteri Besar Johor selaku Pengerusi JCorp., Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Menurut kenyatan itu, sepanjang 27 tahun dengan sembilan tahun menerajui JCorp., Kamaruzzaman telah mengubah JCorp sebagai konglomerat terbesar milik kerajaan negeri Johor kepada badan pelaburan kerajaan negeri  paling dinamik dalam negara. – MalaysiaGazette