Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Noor Azlan Ghazali bercakap pada sesi Rotunda Roundtable di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 DISEMBER 2019

BANGI – Faktor ketidaktentuan dalam peralihan kuasa Perdana Menteri boleh mempengaruhi minat pelabur untuk terus kekal melabur di negara ini.

Itu pendapat pakar ekonomi, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Menurut beliau, faktor itu boleh mengakibatkan terencatnya segala usaha bagi memastikan ekonomi di negara ini dari terus mengukuh.

“Ketidaktentuan (serahan kuasa) boleh merencatkan sesuatu usaha, dan ini lebih kritikal kerana ini mengenai jawatan Perdana Menteri.

“Jepun sudah banyak kali tukar PM, tapi negara itu boleh terus hidup,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas mempengerusikan sesi meja bulat bertajuk ‘Membentuk Semula Pendidikan’ di UKM hari ini.

Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Noor Azlan Ghazali bercakap pada sesi Rotunda Roundtable di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 DISEMBER 2019

Beliau berkata visi seseorang Perdana Menteri itu dan hala tuju sesebuah negara akan mempengaruhi keseluruhan sistem di negara ini.

Malah katanya apa sahaja pendekatan yang akan diambil oleh mana-mana pemimpin akan turut mempengaruhi minat pelabur-pelabur luar terhadap Malaysia.

“Bila kita ada ketidaktentuan di peringkat yang sangat tinggi, suka atau tidak semua pihak yang terlibat contohnya pelabur dalam bidang automotif akan tertanya-tanya.

“Adakah perancangan ini akan diteruskan kalau ada peralihan kepimpinan, ini yang menjadi cabaran jika kita bangunkan negara yang berteraskan kepada kecenderungan pemimpin, ini risiko yang kita ambil,” katanya lagi.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim hari ini berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu membuat keputusan secara konsensus samada peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia perlu berlaku pada Mei atau selepas November tahun depan.

Mahathir pula dalam wawancara kepada Reuters kelmarin menegaskan, beliau berjanji menyerahkan kuasa kepada Anwar dan perkara itu tidak akan berlaku sebelum APEC yang dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada November 2020.

“Saya berjanji menyerahkan kuasa dan saya akan kotakannya tetapi saya rasa perubahan segera sebelum sidang APEC akan menimbulkan gangguan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast