Pengerusi Otai Remormis 1998, Dr. Idris Ahmad bersama ahlinya bergambar sambil melaungkan 'undur Zuraida' pada penyerahan memorandum mendesak Parti Keadilan Rakyat menggugurkan Zuraida Kamaruddin dari jawatan menteri di Ibu Pejabar PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2019.

PETALING JAYA – Otai Reformis 1998 yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad mengemukakan memorandum mendesak kepimpinan tertinggi PKR mengambil tindakan tegas ke atas tujuh pemimpin parti itu terutama Zuraida Kamaruddin.

Beliau yang turut disokong Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Otai Reformis 1998, Jingga 13, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA) dan Anak Reformasi bersama anggota akar umbi PKR juga mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya mengugurkan segera Zuraida sebagai menteri.

Dakwa beliau, Zuraida selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Naib Presiden PKR biadap dan mengingkari kepimpinan beliau dan tidak menghormati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Zuraida biadap melampau dan terang-terangan mengingkari dan menghina presiden parti dan beberapa orang pemimpin parti dalam satu Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu.

“Kami juga mendesak PKR supaya memecat Zuraida daripada parti,” katanya seperti yang terkandung dalam memorandum itu pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat PKR di Tropiciana petang ini.

Memorandum itu diserahkan oleh Idris kepada Pembantu Peribadi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Zara Zahari.

Idris dalam hal yang sama menggesa pimpinan PKR mengambil tindakan disiplin dan menggantung dan memecat keanggotaan beberapa pemimpin lain yang senada Zuraida.

Menurutnya, tindakan yang sama juga perlu disegerakan oleh Anwar ke atas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden, Tian Chua, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Pimpinan PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan Exco PKR Pulau Pinang merangkap Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin.

“Kesemua enam pemimpin berkenaan telah ingkar dan tidak patuh kepada pucuk pimpinan parti apabila sengaja sabotaj meninggalkan Kongres Nasional 2019 di Melaka pada 7 Disember lalu tanpa sebarang alasan yang munasabah.

“Tindakan mereka ternyata tidak boleh dimaafkan dan tindakan tegas ke atas mereka wajar memandangkan mereka telah menjejaskan dan mencemarkan nama baik dan imej parti serta reputasi kerajaan Pakatan Harapan di mata rakyat.

“Selama ini Anwar mengambil pendekatan berlembut dan sikap memaafkan mana-mana individu yang melakukan kesalahan dari segi disiplin dan kelakuan, tapi kami mintalah presiden (Anwar) sila kali ini bertindak tegas lagi ke atas mereka,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bergaduh lah ko, puak2 parti yg tak blh pkai.. Kami rakyat tggu je pilihan raya nk jatuh kn ko… Parti huru hara… Di sbb kn parti ni, mlysia skrg haru biru di buat nya… Hancur ph…

Comments are closed.